Scott membawa Gaya untuk dilepaskan kembali ke lautan selepas menerima rawatan selama empat bulan di pusat tersebut.
“Selamat pulang ke tempat asalmu, wahai Gaya!”. Itulah ucapan yang tepat ketika Gaya dilepaskan di pantai Teluk Maloham Pulau Gaya pada 25 September lepas.
Si Gaya merupakan nama yang diberikan kepada seekor spesies Penyu Hijau yang telah dipulihkan selepas mengalami kecederaan yang serius oleh Ahli Biologi Laut, Pusat Marin Gaya Island Resort, Scott Mayback.
Kronik, Dehidrasi Teruk dan Kurang Zat Makanan
Pada 7 Jun lalu, Gaya ditemui oleh seorang nelayan tempatan dalam keadaan yang sangat menyedihkan dan lemah di Kampung Gaya, Kota Kinabalu.
Menurut Scott, seorang nelayan berhati mulia terus membawa Gaya ke pusat marin berkenaan untuk meminta pertolongan bagi menyelamatkan haiwan tersebut.
“Saat Gaya tiba keadaannya sangat teruk dan setelah menjalani pemeriksaan menyeluruh kami dapati Gaya berada dalam kondisi kronik, dehidrasi teruk dan kekurangan zat makanan.
“Melihat situasi Gaya, petugas pusat marin terus segera memulakan rancangan rawatan yang merangkumi satu siri antibiotik dan titisan garam dalam jangka masa 30 hari, bersama dengan multivitamin dan program diet,” dedah Scott yang masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kecederaan penyu terbabit.
Rawatan Demi Rawatan
Semenjak itu, Gaya telah menjalani pelbagai rawatan dan terdapat peningkatan besar dalam trek pencernaannya serta selera makannya terus meningkat.

Para pelancong dan petugas sempat mengambil gambar memori selepas pelepasan Gaya.
“Dalam masa satu bulan penjagaan peningkatan jisim badannya naik berterusan dari 4.4 kg hingga 5kg.
“Akhirnya setelah menjalani pemulihan selama kira-kira hampir empat bulan, Gaya berjaya mencapai berat ideal 7 kg dan ia menandakan Gaya sudah sesuai untuk dilepaskan kembali,” katanya.
Tambah Scott, pelepasan Gaya ini menjadikan ia penyu ke-28 berjaya dipulihkan oleh pusat marin yang telah beroperasi sejak Oktober 2013 dan penyu pertama berjaya diselamatkan bernama ‘Bobby‘.
“Sebelum dilepaskan, Gaya turut ditandai dengan tanda pengenalan logam bagi tujuan pengecaman sekiranya dijumpai,” jelas beliau.
Covid dan Barbara
Berkongsi kisah lara sama, dua ekor penyu lain iaitu Covid dan Barbara yang juga sedang menjalani rawatan di pusat marin tersebut.
“Covid merupakan penyu ke 21 yang diselamatkan dan setelah tiga setengah tahun kemudiannya Barbara penyu ke 27 pula tiba dengan kecederaan parah dicengkerang akibat dilanggar kapal.

Kolam rawatan yang menempatkan Barbara dan Covid.
“Sejurus tiba, Barbara segera diasingkan secara kuarantin selama dua setengah bulan dan turut diberikan pelbagai rawatan intensif termasuk rawatan terapi berat badan.
“Namun kami dapati Barbara masih memerlukan lebih banyak ruang untuk berlatih menyelam kerana mengalami masalah daya apung kesan daripada kecederaan yang dialaminya.
“Disebabkan kondisi mereka ini agak kritikal dan masih memerlukan rawatan lanjut maka mereka hanya akan dilepaskan jika bila sudah benar-benar pulih,” jelas Scott.
Dalam pada itu, Scott yang turut menyatakan terdapat tiga spesies penyu yang terdapat di perairan Sabah iaitu Penyu Hijau, Penyu Lipas dan Penyu Sisik.
Warden Kehormat Hidupan Liar
Bagi menjayakan usaha pemuliharaan berkenaan, beberapa kakitangannya turut mengikuti Kursus Warden Kehormat Jabatan Hidupan Liar (JHL) yang melayakkan mereka diberi kuasa mengendali hidupan liar di kawasan tersebut.
Jelas Penolong Pegawai JHL Bahagian Pantai Barat Sabah, Jain Kuriting, dengan kuasa yang diberi ini sedikit sebanyak akan memudahkan JHL mencari tempat pemulihan yang terdekat dan sesuai di kawasan ini untuk menghantar penyu-penyu yang dijumpai dan memerlukan rawatan.

Penolong Pegawai JHL Bahagian Pantai Barat Sabah, Jain Kuriting.
“Pihak JHL sentiasa berhubung dengan pusat tersebut dan sekiranya terdapat sebarang yang berkaitan hidupan liar di kawasan ini mereka akan segera menghubungi kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Jain turut menerangkan tugas warden kehormat adalah bagi membantu memelihara, memulihara dan melindungi kawasan-kawasan perlindungan dan hidupan liar negeri Sabah berdasarkan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Enakmen Taman-Taman 1984.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan terdapat tiga spesis penyu iaitu penyu sisik, penyu lipas dan penyu hijau yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1996.
Proaktif Pelihara Hidupan Liar
Pemulihan Gaya menandakan usaha konsisten semua pihak yang terlibat dalam memainkan peranan proaktif memelihara keindahan persekitaran semula jadi dan melindungi hidupan liar.
Bagi Pengurus Taman Tengku Abdul Rahman, Kenneth Condrad Sion, usaha pemuliharaan spesies habitat, hidupan liar termasuk alam semulajadi yang dijalankan merupakan satu usaha yang perlu disokong oleh semua pihak.

Pengurus Taman Tengku Abdul Rahman, Kenneth Condrad Sion.
“Pusat peranginan di sekitar Pulau Gaya juga dialu-alukan untuk mengikuti jejak yang dilakukan ini contohnya dengan menubuhkan pusat konservasi atau pusat pendidikan bagi tujuan memelihara dan memulihara haiwan berkenaan,” kata beliau.
Tambah Kenneth, pihak Taman-taman Sabah turut giat memberikan program kesedaran kepada penduduk-penduduk sekitar dan pelajar sekolah.
Kesabaran, Komitmen Tinggi
Sementara itu, bagi pelancong tempatan Belinda Lim, 70, berasal dari Johor Bahru, usaha yang dilakukan bagi menyelamatkan penyu tersebut sememangnya memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi bagi memastikan haiwan tersebut dapat diselamatkan,”ujar beliau yang pernah menyertai usaha pemuliharaan burung enggang di Pangkor Laut, Perak.
Pengalaman Berbeza, Mengagumkan
Manakala, bagi warga Perancis, Lisa Aveline Rabenjoro, 21, menyaksikan saat-saat Gaya dilepaskan merupakan satu pengalaman yang berbeza dan sungguh mengagumkan.
“Ia berbeza dengan penyertaan saya semasa Turtle Tagging Program di Pulau Mabul pada akhir 2018 di mana kami hanya meletakkan penanda pengenalan kemudian melepaskannya dengan segera dan ia tidak melibatkan proses pemulihan haiwan berkenaan.
“Namun kali ini, saya dapat melihat sendiri secara dekat dan mendengar kisah perjalanan Gaya yang disampaikan oleh Scott dari mula ia dirawat sehingga saat-saat ia dilepaskan,” ujarnya yang berharap kesedaran mengenai usaha pemuliharaan penyu ini dapat terus disebarluas kepada orang ramai.

Lisa Aveline Rabenjoro, 21 tahun.
Spesies Terancam
Setiap tahun, populasi penyu yang mendarat untuk bertelur semakin berkurangan dan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) juga telah meletakkan haiwan ini sebagai spesies terancam.
Pemuliharaan hidupan liar ini bukan seharusnya diletakkan di bahu badan atau organisasi tertentu sahaja sebaliknya ia merupakan amanah serta tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
Oleh itu, kita semua perlu memikul tanggungjawab ini bersama dan jangan kerana sikap tidak ambil peduli kita akan menyebabkan generasi mendatang dapat melihat penyu hanya di layar kaca televisyen dan buku sahaja.


































