Fadillah Yusof berucap pada pelancaran Rangkaian Persendirian 5G Komersial Pertama di Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk mencapai 70.2 peratus sehingga September 2023, dengan langganan berjumlah 2.49 juta, diterjemahkan kepada kadar penembusan 7.4 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, capaian tersebut menunjukkan negara berada dalam landasan terbaik untuk mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini.
“Kita berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk pada penghujung 2023.
“Penggunaan teknologi 5G membantu menambah potensi bagi meningkatkan ekonomi negara kita dengan ketara. Ia mewujudkan peluang dalam memacu inovasi, meningkatkan produktiviti, dan memupuk usaha niaga baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Rangkaian Persendirian 5G Komersial Pertama di Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Setakat ini katanya, Malaysia telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk daripada Opensignal dan Ookla, yang menamakan Malaysia sebagai peneraju global dalam sambungan 5G dengan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai, memberikan pengalaman 5G yang hebat untuk pengguna.
Menurutnya, ketersambungan 5G yang lebih pantas dan dipercayai dapat memperkasa perniagaan untuk menyelaraskan operasi, membangunkan perkhidmatan baharu dan meluaskan jangkauan, baik di peringkat tempatan mahupun global.
“Peningkatan kecekapan dan keberkesanan yang ditawarkan 5G menghasilkan penjimatan kos dan daya saing yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk Malaysia.
“Kesan penggunaan ini akan dirasai merentasi pelbagai sektor. Ia akan memberi inspirasi kepada industri lain untuk mengikutinya dan memupuk daya saing persekitaran yang mana inovasi dan kecekapan diutamakan,” katanya.
Beliau memberikan contoh bagaimana industri automotif akan memanfaatkan 5G untuk kenderaan autonomi, penjagaan kesihatan akan menyampaikan perkhidmatan teleperubatan dan pertanian akan menggunakan teknik pertanian pintar untuk meningkatkan hasil secara mampan.
“Bandar kita akan menjadi lebih pintar, lebih berhubung dan lebih cekap, seterusnya meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.































