Armizan (tengah) menyampaikan hadiah pengunjung bertuah kepada salah seorang penerima.
PAPAR: Berikutan peralihan monsun di negara ini, pengurusan jawatankuasa bencana daerah disaran untuk memastikan persiapan dan koordinasi dilaksanakan dengan serta merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas – Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyelarasan kerjasama semua agensi yang terlibat amat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan daerah untuk menghadapi banjir.
“METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa 19 September bermulanya fasa peralihan monsun yang bermaksud monsun barat daya telah berakhir.
“Sekarang adalah fasa peralihan sehingga dijangka bulan November akan bermulanya monsun timur laut.
“Namun, dalam fasa peralihan ini pun kita melihat berlakunya insiden banjir dengan kadar hujan yang lebat di beberapa kawasan.
“Di Sabah, dari 19 hingga 30 September ada satu kawasan iaitu Daerah Beaufort telah dilanda banjir yang melibatkan 231 mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Jadi, melihat kepada hujan yang berterusan saya menyeru kepada pengurusan jawatankuasa bencana daerah yang dipengerusikan oleh para pegawai daerah untuk memastikan persiapan dan koordinasi di peringkat daerah bermula serta merta.
“Yang paling penting, jawatankuasa ini perlu segera untuk kita menyelaraskan sinergi kerjasama semua agensi yang terlibat termasuk sekiranya NGO di sesuatu daerah yang ingin telibat sama dalam persiapan meningkatkan kesiapsiagaan daerah menghadapi banjir,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Armizan memuji tindakan proaktif yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 15 hotspot banjir.
“Pengurusan Jawatankuasa Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri telah membuat persiapan untuk MTL2023-2024 dengan mengenal pasti dan menyediakan 332 PPS.
“PPS ini disediakan untuk menghadpi risiko banjir yang boleh menempatkan 129,096 orang, jadi itu persiapan negeri yang merupakan tindakan proaktif dengan mengenal pasti lebih awal.
“Pengalaman kita pada monsun timur laut 2022 yang lepas, di Sabah ini terdapat 15 daerah telah dilanda banjir melibatkan pembukaan 103 PPS dengan jumlah 17,565 mangsa daripada 5,650 keluarga.
“Ini bermaksud terdapat sekurang-kurangnya 15 daerah di Sabah ini berhadapan dengan risiko banjir kawasan daerah hotspot dan saya berharap 15 daerah terbabit memastikan kesiapsiagaan itu termasuk PPS yang diperlukan,” ujarnya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat melaksanakan koordinasi termasuk semakan ke atas longkang dan parit yang tersumbat di taman-taman perumahan serta kampung-kampung bagi mengelakkan bencana yang lebih besar.
Selain mengumumkan bekalan makanan retort food oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diagihkan di PPS akan dilaksanakan bermula tahun ini, beliau turut memaklumkan penyaluran peruntukan asas kepada negeri tanpa perlu menunggu peruntukan dari kerajaan pusat.
“Mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana peringkat pusat yang dipengerusikan oleh YAB TPM1 akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini.
“Berdasarkan laporan semua negeri, kita akan menyalurkan peruntukan asas sebab kita ingin bertindak bukan hanya responsif, sekiranya berlaku bencana banjir dan khususnya melibatkan bantuan wang ehsan kepada rakyat.
“Negeri sebaik sahaja membuat pengesahan boleh menyalurkan peruntukan tersebut tanpa menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat dan sekiranya ada kekurangan kita akan tambah.
“Dalam pengurusan bencana negara, kita ada tiga layer JPBP (pusat) JPBN dan JPBD di mana kita telah memberi empowerment kepada negeri dan daerah untuk membuat pengesahan bantuan tersebut kerana NADMA sudah tidak membuat verifikasi.
“Sebaik sahaja sesuatu laporan dibuat dan telah menepati syarat-syarat yang ditetapkan, peruntukan boleh terus disalurkan oleh negeri,” tambah beliau.Armizan ditemui media selepas merasmikan
Program Jaringan Komuniti Madani (JAKMA) anjuran bersama UiTM Cawangan Sabah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di SMK Pengalat dekat sini, pada Ahad.
Armizan ditemui media selepas merasmikan Program Jaringan Komuniti Madani (JAKMA) anjuran bersama Pejabat Parlimen Papar dan UiTM Cawangan Sabah di SMK Pengalat dekat sini, pada Ahad.































