Wakil ketua kontinjen JAKIM menerima sijil penghargaan daripada Arifin (dua dari kanan).
KOTA KINABALU: Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) jadi wadah erat silaturahim kakitangan agensi-agensi Islam.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata IJPAM boleh dijadikan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pegawai dan kakitangan di setiap agensi Islam khususnya dalam konteks kerjasama di antara setiap agensi Islam di negeri-negeri.
“Kerjasama akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya kita telah mengenal di antara satu dengan yang lain.
“Saya percaya kalau ini boleh kita jelmakan dalam konteks sebuah organisasi besar yang melibatkan semua agensi agama yang ada, mungkin kita boleh mencorakkan halatuju organisasi agama ini ke arah yang lebih mantap dan berwibawa.
“Kekuatan utama sukan ialah mencetuskan rasa kekitaan dan semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan atlet serta penyokong.
“Walau apapun, saya mengharapkan acara sukan yang kita adakan sempena IJPAM ini akan dilaksanakan secara semangat kesukanan.
“Adat bertanding, ada menang dan kalahnya, yang penting bagi saya ialah sukan dapat memupuk persaudaraan dan persahabatan di kalangan kita agensi Islam,” ujar beliau ketika merasmikan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia IJPAM SABAH 2023 di Dewan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, pada Ahad malam.
Menurut Arifin yang juga Exco Agama & Exco Pendidikan, penganjuran IJPAM Sabah 2023 amat bermakna kerana kehadiran rakan-rakan kontinjen dari semua agensi agama dari seluruh Malaysia menyerlahkan IJPAM sebagai wadah pertemuan tahunan atau dwitahunan para agamawan dan para pegawai hal ehwal Islam untuk lebih mengenali adat dan budaya tuan rumah bagi program ini khususnya di negeri ini.
IJPAM Sabah 2023 mempertandingkan sembilan acara sukan antaranya bola sepak, badminton, bola jaring, bola tampar, sepak takraw, ping pong, dart, memanah dan boling yang melibatkan penyertaan seramai 2000 peserta dan petugas dengan 18 kontinjen yang mewakili negeri-negeri dan agensi agama Islam yang berikaitan.
Hadri sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Datuk Mohd Ajib Ismail, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah JAKIM Sabah, Datuk Norjeli Dais dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangul dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohamad Sidik Awang Adi.































