Masiung menyampaikan cenderahati berupa baju ‘Tatap Kalaga’ kepada Hajiji (kiri) sambil diperhatikan oleh Datuk Dr. Yusof Yacob dan Datuk Redonah Bahanda.
TONGOD: Hati-hati memilih kawan dalam kerjasama politik bagi mengelakkan ‘pisang berubah dua kali’, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Beliau menegaskan ini ketika menyampaikan ucapan dasar pada pelancaran dan mesyuarat agung pertama parti itu yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di Dataran Rakyat Tongod, di sini, Sabtu.
Masiung mengingatkan Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden Gagasan Rakyat supaya berwaspada dalam memilih rakan dalam politik, lebih-lebih lagi semasa proses membentuk kerajaan pada musim depan.
“Pengalaman masa lalu telah mendewasakan kita di mana rakan yang menjadi gandingan dalam politik dan kerajaan akhirnya mengkhianati perjuangan.
“Kawan yang pada awalnya menjadi rakan kongsi bertukar menjadi dalang mahu menikam kita dari belakang hanya kerana mahu mendapatkan kuasa,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut itu juga mahu Ketua Menteri menyeneraikan jalan raya Tongod ke Sook sejauh 46 kilometer untuk dinaik taraf menerusi pelan baharu projek Lebuhraya Pan Borneo.
Masiung berkata, jika cadangan itu dapat direalisasikan jarak perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tongod menerusi Keningau hanya mengambil masa kira-kira tiga jam setengah, berbanding enam jam apabila melakui jalan lama sedia ada iaitu Kota Kinabalu-Ranau-Telupid-Tongod.
Majlis pelancaran dan perasmian masyuarat agung pertama Gagasan Rakyat Kuamut itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 5,000 penyokong yang memakai baju berwarna merah membanjiri Dataran Rakyat Tongod.
Sebelum merasmikan pelancaran Gagasan Rakyat Kuamut, Ketua Menteri terdahulu melakukan upacara pecah tanah untuk bangunan baharu Mahkamah Anak Anak Negeri daerah Tongod.
Projek bernilai RM5,101,390 itu dimulakan pembinaan pada Jun lalu dan dijangka siap pada Disember tahun ini.































