Redonah bergambar bersama para peserta kursus.
KOTA MARUDU: Golongan usahawan diminta meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan jika berhasrat untuk kekal berdaya saing serta menjamin masa depan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, dunia perniagaan penuh dengan cabaran, khususnya perubahan dunia yang begitu pantas berkembang.
Katanya, usahawan bukan sahaja perlu berdaya tahan dan berani bersaing, malah bersedia menghadapi pelbagai masalah dan persekitaran ekonomi yang lembab dan tidak stabil.
“Golongan usahawan perlu mempersiapkan jati diri untuk kekal bertahan dalam dunia perniagaan. Mereka perlu meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan.
“Ia berkait dengan ilmu pengetahuan dalam perniagaan seperti perhubungan kerjasama, pemasaran, promosi, isu semasa ekonomi dan input tambahan berkaitan produk atau perkhidmatan yang kita usahakan dalam perniagaan kita,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Program Keusahawanan Wanita dan Belia di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Surinam Haji Sadikun dan 200 peserta program.
Program anjuran Pertubuhan Ibu Tunggal Kota Marudu dengan kerjasama Perbadanan Pinjaman Sabah itu dihadiri oleh 200 peserta.
Redonah berkata, para usahawan perlu sentiasa mempertingkat dan menambah baik segala kemahiran yang ada supaya sentiasa dapat mengikut arus perkembangan semasa.
“Kita perlu sentiasa dalam ‘versi’ terkini dan tidak ketinggalan daripada orang lain. Untuk tujuan ini, kita perlu menimba ilmu, belajar, berkawan, tambah pengetahuan dengan membaca, membuat kajian dan penelitian berkaitan perniagaan yang kita usahakan.
“Sebagai usahawan, semua antara kita mesti bijak dalam memanfaatkan teknologi terkini. Melalui teknologi, kita meluaskan rangkaian perniagaan, kita tambah kekuatan dan rangkaian ekonomi kewangan kita, dan kita perkukuh nilai serta asas keusahawanan, kerana kita perlu ada target masing-masing, yang kita perlu capai,” ujar beliau.
Kata Redonah, Kerajaan melalui Perbadanan Pinjaman Sabah telah banyak mewujudkan dan melaksanakan program, aktiviti-aktiviti yang bertujuan membantu usahawan untuk lebih berjaya dan berdaya saing.
Walaupun begitu, katanya, Kerajaan percaya bahawa masih terdapat ruang, dan kelemahan yang perlu diperbaiki dalam meningkatkan pencapaian usahawan.
“Inisiatif mengadakan kursus keusahawan adalah satu sumbangan yang sangat relevan kepada para usahawan tempatan, dalam mendapatkan pendedahan mengenai bidang keusahawanan dan berkongsi pengetahuan.
“Pembangunan usahawan merupakan satu agenda nasional yang perlu dihayati, dan dijayakan oleh rakyat terutamanya di kalangan usahawan itu sendiri. Semuanya bergantung kepada usahawan untuk berubah dan memantapkan ilmu dan kemahiran berniaga,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan tidak sekadar menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, tetapi juga perlu memberikan perhatian kepada usaha membentuk usahawan-usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi.