Anwar Ibrahim bersalam dengan kanak-kanak ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling, kelmarin.
PETALING JAYA: “Mana boleh kes mahkamah hendak runding di Parlimen, kena faham pembahagian kuasa.”
Menurut Utusan Malaysia, demikian respons Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diminta mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar kerajaan mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi membahaskan keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Biarpun menyantuni pandangan anak muda, Anwar berkata, golongan itu perlu memahami pembahagian kuasa antara legislatif dan badan kehakiman.
“Parlimen bukan mahkamah. Dia boleh tanya soalan dan kita cuba jawab sebab Peguam Negara bukan Ahli Parlimen dan bukan menteri.
“Jadi kita boleh harus ada ruang untuk mana-mana ahli Parlimen bertanya, tetapi jangan jadikan Parlimen itu sidang mahkamah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai ucapan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa menyifatkan reformasi sudah mati, Anwar berkata, ia bermula dengan bekas Ahli Parlimen Gombak itu yang mematikan reformasi.
“Yang lain masih kekal, alhamdulillah,” katanya.
Berhubung ugutan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan, Anwar sekali lagi menegaskan, ia bukan bidang kuasa beliau menarik atau meneruskan pendakwaan kes Ahmad Zahid berkenaan.
“Yang siasat itu kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Yang dakwa itu AG, yang putuskan itu hakim,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menambah, beliau memahami keresahan semua pihak kerana negara mewarisi sistem sedemikian.
“(Sistem) bahawa orang politik rakus, zalim menggunakan kuasa untuk mendera orang. Saya lalui proses itu dan sekarang saya Perdana Menteri. Saya tidak sanggup guna kuasa sebegitu rupa.
“Tetapi oleh kerana orang itu biasa dengan sistem begini puluhan tahun, dia rasa beginilah nanti caranya. Ketua SPRM, Ketua Hakim, Peguam Negara…tanya mereka. Sembilan bulan saya Perdana Menteri saya tidak pernah campur. Tidak percaya? Itu soal lainlah kerana itu pengalaman kamu. (Tetapi) keadaan berubah, orang lain yang jaga,” katanya.