Andi ketika melawat kawasan yang dilanda banjir kelmarin.
TAWAU: Kerajaan digesa mempercepatkan projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tawau dan meneruskan pembinaan tebing Sungai Pasir Putih fasa dua bagi menangani isu banjir di daerah ini.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kekerapan banjir di daerah ini berlaku sehingga empat kali setahun dan menjejaskan kehidupan kira-kira 20,000 orang penduduk di sini.
Katanya, Sungai Tawau dan Alur Sungai Tawau Bypass kini tidak dapat lagi menampung kapasiti aliran air terutamanya pada musim hujan yang menyebabkan air sungai tersekat dan melimpah keluar.
“Pagi kelmarin banyak kawasan yang dinaiki air selepas berlakunya hujan lebat dalam tempoh beberapa jam terutamanya di Kampung Tanjung Batu Keramat, Tanjung Batu Darat dan Kampung Pasir Putih A/B.
“Justeru, saya berharap kerajaan dapat meneruskan projek tebatan banjir (RTB) dan pembinaan tebing Sungai Pasir Putih fasa dua dengan kadar segera,” katanya.
Beliau ketika ditemui semasa menyampaikan bantuan makanan dan minuman kepada mangsa, di Kampung Pasir Putih, di sini, kelmarin.

Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, pihaknya sering mendengar keluhan penduduk yang menjadi mangsa banjir setiap kali berlakunya hujan lebat.
Katanya, setiap kali berlakunya banjir di kawasan penduduk, sudah pasti menjejaskan aktiviti harian mereka serta banyak barang elektrik dan perabot yang rosak.
“Saya telah turun padang melihat keadaan banjir di kawasan Parlimen Kalabakan pagi tadi dan terdapat dua jambatan telah rosak akibat arus deras.
“Saya berpendapat perlunya projek-projek menangani banjir dilaksanakan secepat mungkin supaya rakyat tidak terbeban terlalu lama,” katanya.
Menurutnya, kerajaan khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) diminta supaya tidak melakukan projek separuh jalan yang akan menyusahkan rakyat.
“Kita mahukan rakyat terus menikmati kehidupan dengan selesa tanpa perlu risau sekiranya berlakunya hujan lebat yang berterusan.
“Saya percaya Kerajaan Perpaduan yang mendengar denyut nadi rakyat akan mengambil tindakan segera dan mengeluarkan peruntukan yang sewajarnya,” katanya.