David (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shahelmey (tengah) semasa kunjungan hormat semalam di bangunan Kementerian Kerja Raya semalam. Kelihatan Idris, Justin dan Yuzrian.
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya di pejabatnya di Kementerian Kerja Raya, Sembulan, di sini, kelmarin.
Kunjungan itu diketuai Presidennya, David Chan dan disertai Perunding Elektrik, Ir. Ts. Yuzrian Efren Yunus dan Akauntan Bertauliah, Justin Ng dan Dato Idris Ali.
Tujuan kunjungan ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak, selain memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan pengguna.
David turut menyatakan rasa lega dan berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya Sabah berkenaan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II Fasa II.
“Persatuan pengguna berharap gangguan bekalan air akan dapat diatasi memandangkan sebelum ini masalah ini sering mengganggu kehidupan seharian penduduk, khususnya peniaga.
“Persatuan pengguna berharap masalah gangguan bekalan air di sekitar bandar raya ini akan berakhir berikutan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II Fasa II siap sepenuhnya kelak,” katanya.
Dalam pada itu, persatuan berharap agar peruntukan bagi menambah baik kemudahan bekalan air dan elektrik di Sabah disegerakan bagi menyelesaikan masalah yang sekian lama berlarutan.