Pascale Cecile Veronique Ferrier
WASHINGTON: Seorang wanita berusia 55 tahun dikenakan hukuman penjara hampir 22 tahun selepas didapati bersalah menghantar sampul surat berisi racun risin kepada presiden Amerika Syarikat ketika itu Donald Trump, lapor dpa.
Menurut Utusan Malaysia, wanita itu, Pascale Cecile Veronique Ferrier, 56, akan kekal di bawah pengawasan kehakiman walaupun selepas dibebaskan, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Khamis.
Ferrier yang mempunyai dua warganegara iaitu Kanada dan Perancis, mengaku menghasilkan risin di rumahnya di Quebec pada September 2020. Dia menghantar surat yang mengandungi racun itu ke Rumah Putih dan pegawai penguat kuasa undang-undang di Texas.
Dia juga telah mencerca Trump di media sosial. Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Trump, Ferrier meminta Republikan menarik balik pencalonannya dalam Pilihan Raya Presiden 2020.
Sampul surat itu bagaimanapun telah dipintas oleh Perkhidmatan Rahsia.
Hukuman penjara ini adalah sebahagian daripada perjanjian dengan pihak pendakwaan yang telah diluluskan oleh mahkamah.
Surat-surat yang dicampur dengan risin sangat beracun, turut dihantar kepada presiden ketika itu Barack Obama serta Datuk Bandar New York Michael Bloomberg pada 2013.
Risin boleh membawa maut meskipun terdedah dalam kuantiti yang kecil.