Shahelmey (kanan) berbincang dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembinaan Empangan Ulu Padas dan Empangan Papar yang dijangka akan siap pada bulan Oktober ini sebelum membuat keputusan yang muktamad, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina Empangan Ulu Padas dan juga Empangan Papar sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.
Empangan Papar ini pada asalnya Empangan Kaiduan mendapat tentangan oleh sebahagian pihak, tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Darell Leiking (Moyog) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dorell bertanya apakah perancangan secara terperinci untuk menangani masalah air yang semakin parah sehingga mengakibatkan banyak fasiliti kritikal mengalami gangguan seperti yang berlaku di Hospital Wanita dan Kanak Kanak (HWKK) Sabah, manakala
Mohd. Shafie bertanya apakah tindakan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di HWKK Sabah yang menyebabkan mereka terpaksa menampung kos pembelian air yang mencecah RM145,490.50.
Shahelmey menjelaskan, masalah gangguan bekalan air yang seringkali berlaku di Sabah, khasnya di kawasan utara Kota Kinabalu adalah disebabkan oleh kadar permintaan air terawat semasa di kawasan ini adalah 221 juta liter sehari (JLH) telahpun melebihi kapasiti rekabentuk sedia ada iaitu sebanyak 171 JLH.
“Kekurangan bekalan ke kawasan ini adalah sebanyak 50 JLH ataupun 29.2 peratus. Sumber bekalan air yang membekalkan air ke kawasan HWKK Sabah adalah melalui Loji Rawatan Air Telibong II Fasa I,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Air Negeri Sabah melalui Jabatan Air Daerah Kota Kinabalu mengambil maklum terhadap gangguan bekalan air di kawasan tersebut dan telah mengambil tindakan serta merta dengan melaksanakan pengawalan injap sluis untuk memastikan bekalan air sama rata dan meningkatkan tekanan air ke kawasan yang terlibat khasnya HWKK Sabah.
Buat masa ini, katanya, masalah gangguan bekalan air di HWKK Sabah telah dapat diatasi.
Shahelmey berkata, selain itu, projek yang dalam fasa pembinaan dan dalam proses penyiapan iaitu pembinaan projek naik taraf Loji Rawatan Air Telibong II Fasa II yang dijangkakan akan siap pada awal September 2023 akan dapat membekalkan tambahan air terawat sebanyak 20 peratus ataupun tambahan sebanyak 16 JLH untuk menampung keperluan bekalan air di kawasan UiTM, SSM, ILP, IKM, UMS, HWKK dan kawasan sekitar.
Tambahan 16 JLH ini yang akan disalurkan ke dalam sistem bekalan air sedia ada akan dapat mengurangkan masalah gangguan bekalan air di kawasan terbabit sehinggalah Projek Telibong II Fasa II siap sepenuhnya termasuk pemasangan paip-paip baharu ke kawasan ini untuk penyelesaian sepenuhnya.
Menjawab soalan tambahan daripada Darell yang bertanya apakah status pembekalan air dan kesihatan air yang dibekalkan, Shahelmey mengulangi untuk jangka pendek, bermula daripada Jun lepas sehingga sekarang, Kementerian telah melakukan program-program pemulihan iaitu kawal selia air di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran, menyelaras dan mengubah suai keseimbangan air kerana ada tempat-tempat yang didapati mempunyai tekanan yang dalam keadaan zon selesa (mencukupi) dan ada juga sebahagian kawasan yang mempunyai tekanan air rendah.
“Ini kita sedang melakukan penyeimbangan. Kita menyusun semula pengurusan bekalan air dan melakukan pemotongan sambungan langsung di mana pada sebelum ini terdapat direct transmition line daripada tangki ke tangki utama yang menyebabkan gangguan tekanan. Kita mendapat maklum balas ianya beransur stabil, namun demikian masih juga terdapat kawasan-kawasan yang masih mempunyai tekanan bekalan air rendah. Kita mengalu-alukan pemakluman untuk kita mengambil tindakan serta-merta.”
Penukaran paip air yang lama, terutamanya paip jenis Asbestos Cement yang sudah berumur lebih puluhan tahun juga sedang berlangsung, kata Shahelmey.
Namun demikian, katanya, ia memerlukan CapEx yang agak tinggi. “Jadi ianya dilakukan secara berperingkat kerana ini adalah juga merupakan salah satu punca kepada peratusan non revenue water (NRW) yang tinggi,” jelasnya.
“Cadangan tentang White Paper itu kita boleh bincang dan fikirkan untuk dilakukan penerangan agar rakyat jelas dan faham status bekalan air di Sabah.
“Kita perlu membuat empangan dan kita memohom kerjasama daripada rakan-rakan/Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong usaha apabila kita ingin melakukan/membina empangan air bagi tujuan bekalan air jangka panjang negeri Sabah.”
Kepada soalan tambahan daripada Mohd. Shafie bertanya sampai bila Sabah ini bergantung dengan bekalan air tangki yang dibekalkan oleh pihak swasta, Shahelmey berkata, ini sebenarnya adalah langkah kecemasan yang mana apabila ada terdapat gangguan bekalan air kritikal maka Kementerian menghantar lori tangki air daripada Jabatan Air ataupun sekiranya ketidak cukupan lori air dari Jabatan Air maka kita melantik syarikat swasta untuk membantu menghantar air ke tempat-tempat yang terkesan.
“Namun demikian, apa yang terjadi adalah ada pihak-pihak swasta yang mengambil kesempatan untuk mengambil keuntungan berlebihan daripada aktiviti tersebut. Mereka sepatutnya membekalkan air sahaja dan kos akan ditanggung oleh Kerajaan.
“Tentang jangka masa bilakah masalah ini akan selesai, lori tangki air swasta ini yang tidak berlesen perkhidmatannya telah kita tamatkan sejak dua minggu lalu. Kerana kita percaya dalam proses pemulihan air ini bekalan air di sekitar kawasan Kota Kinabalu semakin stabil.
“Untuk jangka masa panjang pula, Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina Empangan Ulu Padas dan juga Empangan Papar. Empangan Papar ini pada asalnya Empangan Kaiduan mendapat tentangan oleh sebahagian pihak. Sekarang kita sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang dijangka keputusan kajian tersebut siap pada bulan Oktober sebelum kita membuat keputusan yang muktamad.
“Apabila saya mengatakan tadi bahawa kita memberhentikan perkhidmatan lori-lori swasta yang mengambil keuntungan berlebihan di kawasan Kota Kinabalu adalah syarikat-syarikat yang tidak diberi lesen,” katanya.
Ditanya kenapa Jabatan Air tidak membeli lori untuk membekalkan air yang terdesak supaya tidak perlu outsource, Shahelmey berkata, Kementerian tidak memerlukan banyak lori air kerana ianya akan menjadi satu aset yang tidak digunakan secara efektif jika bekalan air berjalan dalam keadaan yang stabil.































