Pengendalian dron tanpa kelulusan adalah dilarang sepanjang PRN.
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap empat individu yang didapati menerbangkan dron pada hari penamaan calon Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, pihaknya turut mengesahkan empat individu terbabit ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain rampasan kepada semua dron yang terlibat.
“Salah satu daripada empat kes dilaporkan menyebabkan berlakunya insiden kemalangan membabitkan penggunaan dron pertanian yang jatuh hingga mencederakan orang awam.
“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kes sedang disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Norazman berkata, jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali seperti ditetapkan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Justeru, CAAM mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian dron tanpa kelulusan adalah dilarang sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk hari penamaan calon, hari undi awal, hari mengundi selain semasa berkempen.
Katanya, sebarang aktiviti dron tanpa kelulusan yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah satu pelanggaran kepada peraturan di bawah seksyen 4, Akta Penerbangan Awam 1969, peraturan 140-144.
Ini termasuk tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD) mengikut Seksyen 24O Akta Penerbangan Awam 1969.
“Jika disabit kesalahan, individu terlibat akan dikenakan denda atau hukuman penjara seperti ditetapkan di bawah peraturan yang berkaitan,” jelasnya.