Logo logam berbentuk X dipasang di atas bangunan pusat bandar yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat Twitter di San Francisco.
SAN FRANCISCO: Bandar San Francisco melancarkan siasatan terhadap papan tanda X gergasi yang dipasang di atas bangunan yang dahulunya dikenali sebagai ibu pejabat Twitter berikutan penjenamaan semula platform media sosial itu.
Pegawai bandar berkata, tindakan menggantikan huruf atau simbol pada bangunan dan memasang papan tanda baharu tidak boleh dilakukan tanpa permit yang mengesahkan reka bentuk dan tahap keselamatannya.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Jabatan Pemeriksaan Bangunan, Patrick Hannan berkata, lambang X itu dipasang di bangunan berkenaan namun polis San Francisco sempat menghalang pekerja daripada mengeluarkan logo burung ikonik jenama itu dari sisi bangunan.
Tindakan itu dibuat kerana pekerja tidak menyekat laluan kaki lima di kawasan berkenaan untuk memastikan keselamatan pejalan kaki.
“Sebarang penggantian huruf atau simbol memerlukan permit untuk memastikannya konsisten dengan sifat bersejarah bangunan dan penambahan dipasang dengan selamat pada papan tanda itu.
“Semakan dan kelulusan perancangan juga perlu untuk pemasangan papan tanda ini. Bandar ini membuka aduan dan memulakan siasatan berhubung lambang X yang dipasang itu,” katanya.
Hartawan terkemuka, Elon Musk, melancarkan lambang X baharu untuk menggantikan logo burung biru ikonik Twitter selepas membeli platform media sosial itu dengan harga AS$44 bilion (RM200 bilion) tahun lalu.
Logo baharu itu dilancarkan oleh Musk pada Isnin lalu.
Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla diketahui menggemari huruf X dan sudah menukar jenama korporat Twitter kepada X Corp April lalu.