Inter Milan dan AC Milan bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada stadium ikonik San Siro.
MILAN: Hanya beberapa jam selepas Inter dan AC Milan menemui kawasan untuk membangunkan stadium baharu di luar bandar, pihak berkuasa tempatan mengesahkan Stadio Giuseppe Meazza atau lebih dikenali sebagai San Siro tidak boleh dirobohkan.
Kedua-dua kelab gergasi Itali itu sudah hilang sabar menantikan pembinaan stadium baharu yang sepatutnya dibangunkan di bahagian tempat letak kereta di kawasan San Siro.
Mengikut perancangan asal, stadium itu akan dirobohkan tetapi perkara tersebut mustahil dilaksanakan kerana San Siro diberi status perlindungan, sama seperti bangunan bersejarah lain.
Menurut Utusan Malaysia, Majlis Bandaraya Milan telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang status perlindungan Stadio Giuseppe Meazza.
Inter memperoleh hak eksklusif bagi kajian kemungkinan membina stadium baharu di Rozzano, pinggir bandar Milan, kata dua firma hartanah dalam satu kenyataan semalam.
Juara Serie A 19 kali itu akan memiliki hak itu sehingga 30 April 2024, kata kumpulan hartanah Itali, Brioschi dan Bastogi, yang bersama memiliki tanah tersebut melalui sebuah syarikat bernama Infrafin.
Pada masa ini, Inter dan tetangganya, juara Eropah tujuh kali, AC Milan berkongsi Stadium San Siro yang terkenal, yang dibina pada 1926 dan sudah diubah suai beberapa kali.
Milan juga semua mendapat tempat baharu untuk stadium mereka dengan berpusat di San Donato Milanese.