Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh, Melaka.
MELAKA: Seorang pemilik restoran berusia 48 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan isyarat dengan gaya memegang kemaluan terhadap seorang remaja perempuan bawah umur.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Ismadi Ismail membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu dengan cara menunjukkan isyarat dengan gaya memegang kemaluan terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang juga pekerjanya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.45 petang dalam bilik di sebuah rumah di Taman Jasin Height dalam daerah Jasin pada 14 Jun 2023.
Tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh juga didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15 (a) (i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan RM30,000.
Selain itu, pihaknya turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Chua Yong Yi merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan tidak lagi berhubung dengan mangsa, selain perlu menanggung ibu berusia 89 tahun.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000, bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pendakwaan dan menetapkan 12 September depan sebagai sebutan semula kes.