PETALING JAYA: Siasatan polis tidak menolak kemungkinan pengikut ajaran sesat, SiHulk yang kini berada di New Zealand bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad dipercayai cuba mendapatkan permohonan suaka dari kerajaan negara berkenaan.
Mereka dikatakan memohon suaka bagi menggunakan alasan diancam rakyat di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, mereka masuk ke negara terbabit dengan menggunakan pas pelancong dan tindakan memuat naik video mempromosi ajaran itu dipercayai sebagai strategi mereka untuk mendapatkan perlindungan dan menetap terus di negara terbabit.
“Apabila video mereka ini dikecam rakyat di negara ini dan membangkitkan kemarahan netizen, kemungkinan mereka akan menggunakannya sebagai alasan ancaman keselamatan untuk mendapatkan suaka dari negara terbabit.
“Difahamkan ada dalam kalangan mereka yang bekerja memetik buah dan ada yang tidak bekerja,” katanya di sini.
Tambah sumber itu, kebanyakan pengikutnya ini terdiri daripada stokis dan penjual produk minuman kesihatan ‘air ajaib’ yang didakwa mampu merawat penyakit kronik dan Covid-19.
“Bagaimanapun kilang terbabit juga sudah tidak beroperasi dan mereka melarikan diri ke New Zealand untuk meneruskan ajaran itu,” jelasnya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Baru-baru ini tular beberapa video memaparkan individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh Si Hulk.
Satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuat naik melalui akaun Facebook Nurul Sakinah yang bertajuk ‘Nabi Muhammad itu adalah ALLAH’.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu.