Fadhlina Sidek
KUALA PILAH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi berhubung kes seorang guru besar yang didakwa memukul seorang murid sehingga mengalami kecederaan di Segamat, Johor dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara telus.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kes berkenaan berada dalam ‘radar’ kementerian dan pihaknya akan memantau dengan ketat hasil siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Menurut beliau malahan pada masa yang sama, pihaknya akan melakukan intervensi khususnya sokongan psikososial kepada murid dan juga guru yang terlibat.
“Kami serahkan pada siasatan, pada masa yang sama kita kena hormat proses siasatan itu dan semua siasatan ini akan dimaklumkan kembali kepada KPM. Jadi kami tidak akan berkompromi sekiranya ada terdapat benar-benar dakwaan.
“Saya ingin beri jaminan, siasatan kami telus dan mengikut proses kerja kita 1:3:7 (prosedur operasi standard aduan) yang mesti dilaksanakan mengikut proses yang telah pun ditetapkan di peringkat KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sempena Karnival Mini Pendidikan Madani Peringkat Negeri Sembilan di sini, kelmarin.
Media melaporkan seorang murid tahun lima sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah, didakwa dirotan oleh guru besar sehingga mengakibatkan kecederaan pada badan serta mukanya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dirotan oleh guru besar tersebut kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran.
Sementara itu, jelas Fadhlina lagi, sebarang tindakan ke atas guru besar berkenaan adalah bergantung kepada hasil siasatan dan buat masa ini, guru besar tersebut perlu memberikan kerjasama kepada siasatan yang dibuat.
“Bergantung pada siasatan sebaik sahaja dapat maklumat. Kalau dia (guru besar) harus memberikan keterangan, dia harus beri keterangan.
“Saya memang ambil berat isu integriti guru dan anak murid sebab itu kita nak ekosistem sekolah selamat benar-benar seperti yang kita mahu,” katanya.
Sementara itu, mengenai kes pelajar yang memenangi kes saman terhadap guru yang didakwa ponteng mengajar, Fadlina berkata, melihat kes itu secara keseluruhan ekosistemnya.
“Sebab itu kami wujudkan Standard Guru Malaysia (SGM). Ini memang untuk kita pantau daripada segi kualiti guru kita, komitmen mereka dan juga tanggungjawab mereka. Jadi SGM ini adalah untuk memastikan standard guru Malaysia ini benar-benar mencapai kualiti guru yang kita mahukan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud memenangi kes saman terhadap guru yang didakwa ponteng mengajar.
Kemenangan tiga bekas pelajar itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Leonard David Shim.