Rahmad Mariman
MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berjaya mengesan individu yang didakwa bakal menganjurkan malam peragaan acara ratu pondan di sebuah hotel ternama di negeri ini pada Ahad ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagaimanapun penganjur terlibat enggan memberikan kerjasama dengan tidak hadir memberi keterangan berhubung perkara itu apabila dipanggil pihak berkuasa, Selasa.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak akan sama sekali membenarkan acara tidak bermoral itu berlangsung di Melaka.
“Penganjur ini dari luar Melaka, kita sudah panggil dan sepatutnya mereka datang bertemu kita semalam (Selasa), namun sehingga ke hari ini mereka masih lagi tidak datang.
“Kalau mereka datang sekali pun, kita tetap tidak akan benarkan acara itu diadakan demi menjaga kesucian dan kemurnian Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Maal Hijrah 1445H di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini, kelmarin.
Perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Terdahulu, seorang lelaki melalui video tular dalam laman sosial mendedahkan poster penganjuran acara itu yang didakwa bakal berlangsung di sebuah hotel di Melaka, 23 Julai ini.
Dakwanya, ia pernah dianjurkan di luar negara termasuk Thailand dan kini cuba diadakan secara terbuka di Melaka selepas beberapa kali dianjurkan tertutup.
Tambah Rahmad, tindakan tegas tetap diambil seandainya penganjur terlibat berdegil menganjurkan acara berkenaan secara tertutup.
“Sekiranya masih berlaku penganjuran, kita akan buat penguatkuasaan lebih tegas pada termasuklah melibatkan pihak polis,” tegasnya.