Yahya (dua dari kanan) bersama Kasim (dua dari kiri) semasa bertukar dokumen sambil disaksikan oleh Ariffin (belakang, tengah)
KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi nilai tambah dalam memperkasa industri halal Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerjasama dua organisasi besar di antara MUIS dalam bidang syariah dan UMS dari sudut kepakaran dan intelektual sangat penting terutamanya berkaitan dengan pemakanan halal.
“Tiga perkara yang akan ditekankan adalah usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), latihan serta bantuan kepada usahawan-usahawan kecil.
“Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha dan teras bagi mendukung MUIS Halal Hub dari sudut R&D, pembangunan modul dan kerjasama berterusan dari pakar-pakar di UMS.
“Syabas dan tahniah kepada MUIS dan UMS dan diharap industri halal ini akan membuka satu peluang dan seterusnya dapat menyumbang dana yang besar untuk ekonomi negeri ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara UMS dan MUIS di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur berkata, kewujudan inisiatif kerjasama UMS dan MUIS ini adalah satu bentuk kerjasama yang sangat baik bagi menyebar luas ilmu dan latihan profesional berkaitan halal khususnya dalam kalangan industri makanan di negeri Sabah.
“Selain itu, ia bagi meningkatkan keterlihatan UMS serta pemindahan ilmu daripada pakar berkaitan bidang syariah, sains halal dan sains makanan dalam membangun dan memperkasakan industri halal di Malaysia khususnya di negeri Sabah.
“Semoga pemeteraian MoU ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama dan usaha sama kedua-dua belah pihak pada masa hadapan, khususnya bidang akademik dan penyelidikan berkaitan bidang halal,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, MUIS diwakili Yang DiPertuanya, Datuk Seri Yahya Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ramlan Awang Ali manakala UMS diwakili Prof. Datuk Kasim dan Pendaftar, Luqman Ridha Anwar.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.





























