Hajiji (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani MOU itu yang diadakan sempena Majlis Anugerah Sains Sabah (MASS) 2023 di Shangri-la Tanjung Aru, Kota Kinabalu, malam tadi.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memulakan kajian kebolehlaksanaan pembangunan industri angkasa di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa di Sabah melibatkan tiga pihak yang diadakan sempena Majlis Anugerah Sains Sabah (MASS) 2023 di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, malam tadi.
MoU itu ditandatangani oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang diwakili oleh Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman manakala Sovereign Sengalang Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan/Timbalan Pengerusinya, Mohd. Ezra Effendi dan Yuzhnoye State Design Office diwakili oleh Denys MyKhailiuk, Charge d’ Affaires ad interim, Embassy of Ukraine.
Hajiji berkata, sekiranya kajian itu membawa indikasi positif, Sabah bakal membina ‘space launching facility’ atau kemudahan pelancaran angkasa lepas yang ke-16 di dunia.
“Ini sekaligus akan meletakkan nama Malaysia menjadi negara kesembilan yang memiliki fasiliti sedemikian seterusnya bakal melonjakkan Sabah menjadi negeri ulung serta berpotensi dalam konteks pemindahan ilmu dan teknologi aeroangkasa aras tinggi di Malaysia.
“Justeru, MoU Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa di Sabah adalah tepat pada masanya, untuk melihat kesesuaian pembinaan Pusat Industri Pelancaran Angkasa Lepas Antarabangsa Sabah di lokasi yang akan ditentukan kelak.
“Pembinaan pusat industri pelancaran itu juga akan dapat memacu pertumbuhan antara 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri aeroangkasa seperti pembinaan, electronik dan logistik. Selain itu, ia membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya serta limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah,” katanya.
Katanya, kedudukan Sabah adalah sangat strategik dan berada di halaju garis lurus maksimum (Maximum Straight Linear Velocity) yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pelancaran kenderaan angkasa akan terus ke ruang angkasa antarabangsa tanpa melalui ruang angkasa Indonesia.

“Selain itu, ia dapat melonjakkan pencapaian negeri dalam bidang Sains Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dan merangsang minat belia dalam sektor aeroangkasa. Pembinaan fasiliti pelancaran kenderaan angkasa komersil ‘Cyclone’ juga akan menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan negeri,” katanya sambil menambah ia juga memberi pulangan dengan anggaran 20 peratus daripada hasil setiap pelancaran kenderaan angkasa yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun.
Beliau berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan masih di peringkat awal pelaksanaannya dan mengambil masa selama enam hingga 12 bulan.
“Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada persetujuan lanjut Kabinet Negeri Sabah dan selanjutnya Kabinet Persekutuan,” katanya.





























