Hajiji menyampaikan Anugerah Sekolah Bitara Stem kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Sains Sabah(MASS) 2023 di Shangri-la Tanjung Aru, Kota Kinabalu, malam tadi.
KOTA KINABALU: Satu pelan tindakan bersepadu perlu dibuat bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil aliran sains menjelang 2025 di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Sehubungan itu, Ketua Menteri mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Jabatan Pendidikan Sabah serta agensi yang berkaitan menghasilkan pelan tindakan berkenaan.
“Ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun dan perkara ini membimbangkan. Kita mahu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.
“Kadar penglibatan pelajar dalam hidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus, masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera atau 60:40.
“Saya berharap KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Sains Sabah (MASS) 2023 di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, malam tadi.
Hajiji (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Sains kepada Prof. Ir. Dr. Rosalam @ Roslee Sarbatly pada Majlis Anugerah Sains Sabah(MASS) 2023 di Shangri-la Tanjung Aru, Kota Kinabalu, malam tadi.
Beliau berkata, Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE di Sabah.
“Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut merangka Pelan Strategik STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagi program lonjakan STEM yang melibatkan guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan yang mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negeri dan negara.
“Oleh itu, sudah tentunya ini berkait rapat dengan pendidikan STEM yang mana ia adalah asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi,” katanya.
Hajiji yang menyokong penuh penganjuran MASS itu berkata, ia adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan terhadap sumbangan para saintis, teknologis dan inovator tempatan dalam memperkasakan dan mempromosikan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya di Sabah.
“Oleh itu, sudah tentunya ini berkait rapat dengan pendidikan STEM yang mana ia adalah asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi,” katanya.