Azrry (depan, dua dari kanan) dan Dayang (depan, kiri) bergambar kenangan bersama barisan finalis Anugerah Juara CLAS Musim Ke-14.
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput bagi memeriahkan Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) Ke-14 pada 15 Julai depan.
Menurut Penerbit Anugerah Juara CLAS Dayang Marni Awang Matusin, objektif penganjuran anugerah tersebut adalah untuk menggalakkan ciptaan lagu-lagu melayu dalam kalangan komposer tempatan Sabah. “Anugerah ini adalah merupakan salah satu penghargaan kepada komposer, penulis lirik dan penyanyi Sabah dan menjadi platform kepada mereka untuk menyerlahkan bakat sekaligus mencipta nama di persada seni,” ujarnya kepada media semasa Sesi Taklimat Penganjuran Anugerah Juara CLAS Musim Ke-14 di sini, pada Jumaat.
Katanya, kelainan yang dibuat pada anugerah kali ini adalah tema iaitu “Muzik dan Fesyen” yang bakal mengetengahkan kolaborasi dengan pereka fesyen tempatan.
Hadir menyampaikan taklimat, Penolong Pengarah Seksyen Hiburan Dan Muzik, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Mohd Azrry Abdullah.
Anugerah yang dianjurkan oleh RTM Sabah itu bakal menampilkan sembilan artis tempatan yang akan berentap merebut gelaran juara antaranya Fanzi Ruji, Santiana Ramli, Dabra Sia, The Musafeer dan Dayang Nur Azreen di Auditorium Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.





























