Anthony Loke Siew Fook
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mengadakan sesi libat urus bersama wakil industri dan agensi-agensi kerajaan lain pada bulan ini bagi membincangkan pelaksanaan semula dasar pengecualian kabotaj di Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sesi libat urus itu antara lain membincangkan penambahbaikan baharu yang akan dilaksana melalui sistem Electronic Domestic Shipping Licence (eDSL).
“Kementerian terus memainkan peranan aktif untuk memudah cara dalam memastikan pelaksanaan dasar kabotaj dapat mengimbangi kepentingan industri perkapalan dan pembangunan ekonomi digital negara.
“Keputusan lanjut berhubung hala tuju pelaksanaan Dasar Kabotaj bagi aktiviti pembaikan kabel dasar laut di Malaysia akan dibuat setelah sesi bersama semua pihak pemegang taruh selesai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng [PH-Bagan] tentang hasil perjumpaan Siew Fook dengan syarikat teknologi digital termasuk Facebook dan Google berkaitan pemulihan pengecualian kabotaj untuk syarikat berteknologi tinggi memperbaiki kabel dasar laut demi mengembalikan keyakinan pelabur dan menarik pelaburan berteknologi tinggi digital tinggi.
Kerajaan pada 8 Mei lalu mengadakan pertemuan dengan wakil dari industri internet global termasuk Google, Meta, AWS, Microsoft dan Persatuan Pengendali Internet Malaysia (MYIX).
Perjumpaan itu diadakan bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan dari pihak industri berhubung kesan perubahan pelaksanaan dasar Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri (Domestic Shipping Licensing) di bawah Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 dari 2018 hingga kini.
Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Siew Fook berkata, kerajaan akan melaksanakan semula dasar pengecualian kabotaj yang sebelum ini telah ditarik oleh kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Dengan pelaksanaan semula pengecualian kabotaj itu, kapal-kapal bukan Malaysia dijangka dikecualikan daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1), jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan negara ini.
Dalam mesyuarat Parlimen ke-14, Siew Fook yang merupakan pembangkang ketika itu dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan sering berbalah kerana tidak sehaluan berhubung pengecualian kabotaj.
Siew Fook sebelum ini berperanan dalam mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan undang-undang jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan negara – semasa menjadi Menteri Pengangkutan di era Pakatan Harapan (PH).
Tidak lama selepas PH tumbang digantikan kerajaan PN, Ka Siong pada November 2020 menarik semula pengecualian itu.
Rentetan tindakan tersebut, ia didakwa telah menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam kalangan negara terlibat bagi projek kabel internet dasar laut.
Dasar kabotaj adalah dasar diperkenal kerajaan pada 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang, sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.
Ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perkapalan asing, mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia boleh menggunakan laluan pelayaran domestik melainkan pengecualian diberikan.
Pemasangan kabel internet dasar laut amat penting bagi membekalkan kapasiti internet sangat diperlukan selain meningkatkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik.
Malaysia sebelum ini dilapor terlepas peluang daripada terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer, yang menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura – akibat dasar kabotaj yang belum diselesaikan.
Walaupun Ka Siong sebelum ini menegaskan dasar kabotaj bukan faktor tunggal Malaysia tidak terlibat dalam projek kabel internet dasar laut Apricot, namun, dua projek terdahulu iaitu jaringan Echo dan Bifrost juga berdepan situasi sama didakwa disebabkan dasar kabotaj yang telah ditarik semula.
Syarikat gergasi teknologi seperti Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft pernah mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj.
Ini kerana, ia dikatakan memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di negara ini.































