WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) digesa mendedahkan bukti kelibat objek terbang tidak dikenali (UFO) selepas bekas pegawai perisikan mendakwa kerajaan itu memiliki kapal makhluk asing itu.
Bekas pegawai perisikan David Grush yang mengetuai analisis Fenomena Anomali Tidak Dikenali (UAP) di bawah agensi Jabatan Pertahanan AS, mendakwa kerajaan negara itu masih mempunyai kapal makhluk asing itu.
Menurut Utusan Malaysia, The Guardian melaporkan, Grush mendakwa maklumat mengenai kapal tersebut masih disimpan secara haram daripada Kongres.
Grush juga mendakwa dia menghadapi tindakan keras daripada pegawai kerajaan apabila menyerahkan maklumat sulit berkaitan kapal itu kepada Kongres.
Dia meninggalkan kerjayanya pada April lalu selepas berkhidmat selama hampir 14 tahun dalam perisikan AS.
Selain itu, Grush mendakwa kerajaan AS dan pegawai pertahanan pernah mengumpulkan serpihan objek dipercayai kapal makhluk asing itu selama beberapa dekad.
“Bahan itu termasuk kapal lengkap dan yang sebahagiannya masih utuh,” katanya.
Grush juga memberitahu bahawa analisis mengesahkan objek itu berasal dari planet lain.
Sementara itu, seorang pegawai di Pusat Perisikan Udara dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasic), Jonathan Grey mengesahkan kewujudan `objek aneh’ kepada portal Debrief.
Pendedahan itu dibuat selepas merekodkan banyak penampakan dan laporan boleh dipercayai yang membangkitkan perhatian dalam objek makhluk asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2021, Pentagon memaklumkan pihaknya merekodkan lebih 140 kejadian UAP yang tidak dapat dijelaskan.