Muhammad Hawari mengibarkan bendera Jalur Gemilang ketika menawan puncak Everest.
PUTRAJAYA: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, dilanjutkan lima hari lagi selepas ia sepatutnya tamat semalam.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak yang mengesahkan misi SAR itu diteruskan atas ihsan dan kebenaran pihak berkuasa Nepal.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak Everest, 10 hari lalu.
Azim yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia berkata, pihak berkuasa Nepal sudah menutup aktiviti pendakian sepenuhnya ke puncak Everest bermula semalam.
Namun pihaknya mendapat kebenaran meneruskan SAR itu selama lima hari dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal.
Katanya, misi SAR dijangka bermula hari ini dan ia bergantung kepada cuaca serta pelepasan dron oleh kastam negara itu yang tiba dari Malaysia.
Azim berkata, dron berkenaan tiba di kastam Nepal Sabtu lalu dan setakat ini menunggu kelulusan.
Jelasnya, jika mendapat pelepasan, pihaknya akan bertolak dari Kathmandu ke Kem Dua menggunakan helikopter bagi menyambung misi SAR itu.
Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengatur sesi kaunseling kepada ahli keluarga Muhammad Hawari.
Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, bantuan berhubung khidmat kaunseling itu sudah dibincangkan di peringkat kementerian.
“Keluarga Muhammad Hawari tinggal di Kepala Batas dan memiliki isteri serta sepasang anak yang juga OKU (orang kurang upaya) pendengaran.
“Kita akan bantu dari sudut kaunseling kerana keluarga ini sedang melalui saat mendukakan,” katanya.