WARSAW: Sebuah objek dipercayai belon pemantauan dilaporkan memasuki ruang udara Poland dari arah Belarus.
Perkara itu didedahkan oleh Kementerian Pertahanan Poland menerusi ciapan di Twitter.
Poland yang juga anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada dalam keadaan berjaga-jaga mengenai pencerobohan ruang udaranya ketika perang memuncak di negara jiran Ukraine selepas insiden peluru berpandu mendarat di wilayahnya pada November tahun lalu.
Pegawai media Komando Operasi Angkatan Tentera, Kapten Ewa Zlotnicka mengesahkan kepada penyiar TVN 24 bahawa objek berkenaan menceroboh ruang udara Poland pada petang semalam.
Bagaimanapun, radar objek itu terputus berhampiran Rypin, sebuah bandar di utara-tengah Poland.
Sementara itu, jurucakap Pasukan Pertahanan Wilayah memaklumkan operasi pencarian objek itu sedang giat dilaksanakan.
Pada November tahun lalu, sebuah peluru berpandu sesat yang terhempas di Poland, mengakibatkan dua orang maut.
NATO dan Poland mengesahkan peluru berpandu itu ditembak oleh pertahanan udara Ukraine dan bukannya serangan Russia sepertimana didakwa oleh pelbagai pihak.