Jahid mendengar penerangan daripada wakil pempamer yang terlibat dalam pameran yang diadakan sempena seminar itu.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan transformasi digital di luar bandar, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuklah memperbaiki infrastruktur komunikasi dan rangkaian internet, menggalakkan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan memperkenalkan program-program latihan dan kemahiran digital di kalangan pejawat awam dan juga penduduk di kawasan luar bandar.
“Dalam konteks negeri Sabah, Kementerian ini komited dalam usaha pendigitalan perkhidmatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan semua organisasi yang terlibat demi untuk mencapai sasaran pendigitalan perkhidmatan selaras dengan inisiatif dan halatuju Sabah Maju Jaya.
“Hasil daripada kerjasama JPKN, Sistem eJPKK telah siap dibangunkan dan telah digunapakai sepenuhnya oleh pihak Kementerian dan pejabat-pejabat daerah bermula Januari tahun ini. Dengan adanya sistem ini, ia memudahkan perlantikan JPKK, Pengeluaran Sijil Watikah, Pengurusan Pembayaran elaun JPKK dan maklumat kampung dapat diuruskan dengan berkesan.
“Selain daripada itu, beberapa sistem juga sedang digunapakai oleh Kementerian dan di pejabat-pejabat daerah iaitu Sistem Aplikasi Profail Kampung (SAPKS) dan Sistem Lesen Perniagaan. Adalah diharapkan sistem-sistem ini digunakan sepenuhnya, agar data-data berkaitan dapat dikumpul, dianalisa dan digunakan untuk membantu perancangan dan pengurusan Kementerian serta Pejabat-pejabat Daerah.
“Saya juga difahamkan bahawa terdapat dua dashboard yang telah dibangunkan iaitu Dashboard eKPLBS dan Dashboard Pemantauan Projek. Dashboard eKPLBS dibangunkan dengan tujuan untuk memaparkan informasi terkini mengenai ‘core bussines’ setiap bahagian/seksyen/unit di Kementerian. Manakala Dashboard Pemantauan Projek pula bertujuan untuk pihak pengurusan dan bahagian pembangunan mengetahui status projek di daerah,” katanya ketika merasmikan penutupan Seminar ICT Peringkat Kementeriannya di Pacific Sutera Harbour, di sini, hari ini.
Jahid berkata, Kementeriannya akan terus komited merealisasikan “smart digital government” seiring dengan inisiatif kerajaan untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya melalui platform teknologi maklumat serta pendigitalan yang berlandaskan kepada konsep kerajaan digital melalui pendekatan 5a iaitu ‘accessible by anyone at any time, any where, by any mobile device’ bagi menjurus ke arah kerajaan digital pintar secara sepenuhnya pada tahun 2024.
Menurut beliau, Kementerian juga sedar akan cabaran-cabaran sedia ada dan yang bakal dihadapi dalam usaha dalam menerapkan pendigitalan di luar bandar, terutama di pejabat-pejabat daerah.
“Salah satunya adalah ketersediaan infrastruktur digital yang masih terbatas di beberapa daerah. Oleh kerana itu, pihak Kementerian dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan sedang memperkuat infrastruktur digital di daerah yang sukar dijangkau dan mempercepat pengembangan teknologi digital untuk memberikan pelayanan yang lebih baik bagi masyarakat.
“Dengan pendigitalan, kita dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran, dan mempercepat pelayanan orang awam di seluruh negeri.
“Saya percaya bahawa pendigitalan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di luar bandar dengan memberikan akses yang lebih baik ke layanan awam dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Mengenai Seminar ICT itu, Jahid berkata, ia merupakan salah satu platform untuk mempromosikan penggunaan teknologi ICT dan memberikan pendedahan teknologi terkini kepada peserta seminar.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak agensi yang turut serta untuk berkongsi maklumat berhubung dengan teknologi terkini khasnya dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan juga pendigitalan, beliau berkata, Kerajaan sedar usaha yang lebih serius untuk melaksanakan inisiatif pendigitalan ke atas perkhidmatan awam perlu dipergiatkan agar ianya seiring dan menyokong inisiatif pendigitalan Kerajaan Negeri Sabah iaitu Smart Digital Government.
“Tema seminar ICT iaitu “TRANSFORMASI DIGITAL LUAR BANDAR” adalah sangat relevan dengan scenario semasa negeri Sabah yang mana di negeri Sabah ini memiliki banyak daerah terpencil dari pusat ekonomi dan teknologi, dan transformasi pendigitalan luar bandar menjadi sangat penting dalam memastikan bahawa tiada daerah yang tertinggal dalam hal pembangunan ekonomi dan teknologi,” katanya.































