Abu Bakar Abd. Aziz mengutip stok belacannya yang bersepah selepas gerainya di Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh, Melaka musnah dirempuh sebuah kereta.
MELAKA: Seorang peniaga belacan di Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh di sini terpaksa berputih mata menanggung kerugian hampir RM20,000 selepas gerainya musnah dirempuh sebuah kereta, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, Abu Bakar Abd. Aziz, 56, bagaimanapun tetap bersyukur kerana tragedi yang berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu tidak meragut nyawa keluarganya.
Abu Bakar berkata, semasa kejadian dia bersama isteri, Junaidah Maarof, 45, dan anak, Rabiatul Adawiyah, 23, sedang menyusun stok baharu di gerainya sambil berbual.
Ujarnya, rempuhan kuat impak daripada kereta yang dipandu laju itu telah menyebabkan mereka mengalami kecederaan di kepala serta kaki selepas tersepit di antara rak besi.
“Kejadian berlaku sangat pantas dan hanya bunyi dentuman kuat dapat didengari, disusuli suara anak dan isteri yang menjerit kesakitan meminta tolong,” katanya ketika ditemui Khamis.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kereta jenis Peugeot itu dipandu oleh seorang penganggur berusia 23 tahun.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta dari arah Bandaraya Melaka menghala ke Tanjung Keling itu hilang kawalan dan telah memasuki jalan bertentangan sebelum merempuh gerai mangsa yang terletak di sebelah kanan jalan.
“Pemandu mengalami kecederaan dan telah dibawa menaiki ambulans. Kemalangan turut melibatkan dua buah kenderaan lain yang juga motosikal pemilik kedai yang diletakkan di tepi kedai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.