MONTEREY PARK: Tujuh orang terbunuh apabila dua tembakan baharu menggegarkan California, kurang 48 jam selepas kejadian tembakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina di dewan tarian kawasan Los Angeles.
Pertumpahan darah terbaharu itu berlaku di ladang bersebelahan berhampiran Half Moon Bay iaitu sebuah komuniti pantai Pasifik berhampiran San Francisco.
Menurut Utusan Malaysia, Syerif Daerah San Mateo, Christina Corpus berkata, tujuh orang terbunuh dan seorang cedera dalam dua siri tembakan dan seorang penduduk Half Moon Bay berusia 67 tahun bernama Zhao Chunli telah ditahan.
Ketika tragedi baharu itu berlaku, para detektif masih menyiasat kes pendatang warga emas dari Asia yang menembak mati 10 orang ketika sambutan perayaan di sebuah dewan tarian pinggir bandar sebelum bertindak membunuh diri.
Suspek, Huu Can Tran,72, menggunakan pistol separa automatik dalam kejadian amuk di Monterey Park pada malam Sabtu, membunuh lima lelaki dan lima wanita berusia 50-an, 60-an dan 70-an.
Dia kemudian memandu ke studio tarian lain namun tindakan berani seorang lelaki, Brandon Tsay, 26, merampas pistol tersebut berjaya menghalang suspek daripada melakukan lebih banyak pembunuhan.
Beberapa jam kemudian, Can Tran membunuh diri ketika polis menyerbu van putih dinaikinya.
Penduduk Monterey Park, Chester Hong memberitahu, dia percaya pertikaian berhubung jemputan ke pesta malam Tahun Baru Cina itu mungkin menjadi punca utama serangan berkenaan.
Jumlah kematian di Monterey Park, salah satu komuniti Asia terbesar di California, meningkat kepada 11 orang apabila salah seorang mangsa yang cedera meninggal dunia di hospital.