Tun Juhar (tengah) merakam foto kenangan bersama rombongan JaPen Sabah yang diketuai Jainisah (empat dari kiri).
KOTA KINABALU: Kerjasama erat Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah dengan Istana Seri Kinabalu akan terus diperkukuh.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata kerjasama serta penglibatan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin amat signifikan dalam usaha jabatan itu untuk memaklumatkan masyarakat dan menyokong dasar serta pembangunan kerajaan.
“Jabatan Penerangan Malaysia sedang merangka beberapa program untuk dilaksanakan termasuk program utama iaitu Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah.

Jainisah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar, sambil diperhatikan Supian (kanan).
“Dalam hal ini, JaPen Sabah amat berbesar hati sekiranya mendapat kerjasama dari Istana Seri Kinabalu khususnya perkenan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Tun untuk menyempurnakan program-program utama,” ujarnya kepada ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Azman Sipan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong Ah Pin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf Pengurusan Isu, Busmin Brahim.
Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah tahun lepas, Tun Juhar telah menyempurnakan acara pelepasan (flag off) Program Kibar Jalur Gemilang di Padang Merdeka.



























