Japar (tengah) bersama Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud (paling kanan) semasa gimik pelancaran sistem RFID di ASB pagi tadi
LABUAN: Asian Supply Base (ASB) melancarkan teknologi ‘Radio Frequency Identification’ (RFID) di pengkalan bekalan seluas 345 ekar sekaligus menjadi pengkalan bekalan pertama di Malaysia menggunakannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar Esteban keselamatan adalah kebimbangan kritikal dalam industri minyak dan gas disebabkan oleh aset bernilai tinggi serta potensi risiko yang berkaitan dengan industri.
“ASB melaksanakan pelbagai langkah keselamatan termasuk halangan fizikal seperti pagar, kamera CCTV, sistem kawalan akses dan rondaan keselamatan termasuk.
“Dengan teknologi RFID, ASB dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan menambah baik kawalan keselamatan disamping memberi manfaat kepada Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) selain menarik pemain minyak dan gas luar menjalankan operasi di ASB,”jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, projek itu dibahagikan kepada empat fasa, dengan penyiapan dan demonstrasi fasa 1 dijadualkan dilancar pada akhir Jun 2023.
“RFID membolehkan langkah keselamatan diautomasikan dan keselamatan elektronik adalah salah satu langkah pencegahan yang paling efektif untuk melindungi aset ASB yang diwartakan di bawah keutamaan 1, Sasaran Penting (NKP) yang memerlukan tahap keselamatan tertinggi,”menurut kenyataan tersebut.































