Anwar menerima cendera kenangan daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah, sambil diperhatikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan bantuan berjumlah RM1 juta kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).
“Saya ingin memberikan jaminan bahawa kita akan sediakan bantuan kalau KDCA yang menganjurkan. Untuk KDCA, walaupun (Presiden KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak minta, saya luluskan RM1 juta untuk aktiviti dianjurkan oleh KDCA.
“Untuk permintaan yang lain seperti cadangan kolej unverisiti, saya tunggu sehingga siap kertas cadangan dan kita akan bincang dengan Kerajaan Negeri supaya semua projek dalam negeri Sabah ini kita lakukan dengan mengambil kira pandangan dan input serta persetujuan Kerajaan Negeri Sabah.,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini, hari ini.
Pairin yang juga Huguan Siou, dalam ucapannya sebelum itu berkata, KDCA memohon pertimbangan bantuan kewangan serta teknikal daripada Kerajaan Pusat yang sudahpun membantu persatuan dan organisasi yang lain di kalangan kaum Cina, India dan Orang Asli.
Jelasnya, KDCA telah diluluskan sebidang tanah untuk tujuan membina kolej university di Tambunan.
“Tujuan murni ini telahpun diluluskan oleh Kerajaan Pusat dahulu dan kita benar-benar menghargai dan berterima kasih atas kelulusan itu kerana ia bertujuan membantu dalam kemajuan dalam pendidikan dan pembelajaran kaum bumiputera di negeri Sabah.
“Meskipun masih banyak perlu dilakukan dalam usaha membangunkan kolej unverisiti ini, kita mempunyai penuh harapan atas pertimbangan dan kelulusan Perdana Menteri ke atas perkara ini.
“Sebenarnya perincian dan kertas kerja itu sudah ada hanya tunggu dipersiapkan untuk dihantar kepada Perdana Menteri,” jelasnya.
Pairin berkata untuk tujuan itu juga KDCA telah mendaftar sebuah yayasan yang bernama Registered Trustee Huguan Siou Education and Charitable Foundation yang telah didaftar pada 10 April 2018.
“Yayasan ini memerlukan bantuan kewangan juga dariapda pihak Kerajaan. Saya mengharapkan pertimbangan positif daripada Perdana Menteri. Ini kerana kita mesti mengambil berat tentang masa depan komuniti kita,” tambah beliau.
Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau bersungguh-sungguh mahu mejadikan ini fasa baharu negara Malaysia yang mengangkat semua rakyat di negara ini.
Beliau percaya, dalam tempoh yang singkat, Malaysia akan dapat membawa balik semangat perpaduan yang tulin di kalangan rakyat di negara.
“Hari ini saya berasa sangat bahagia, gembira dapat bersama-sama menyambut satu pesta penting bukan sahaja masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) tetapi seluruh rakyat Malaysia di Sabah dan seluruh negara. Acara seperti ini adalah acara rakyat.
“Kita ada cita-cita untuk menjadikan Sabah dan Malaysia negara unggul yang hebat ekonominya, kuat tahap pendidikan dan teknologinya, tetapi tetap berakar budaya tradisi kita sendiri.
“Malaysia hebat selagi rakyatnya, bermula dengan pimpinannya, mempunyai sikap yang terbuka, hormat-menghormati, bertoleransi dan berapresiasi kerana kita ada kekuatan masing-masing.
“Ada kekuatan masing-masing, ada kehebatan masing-masing dan ada keindahan masing-masing, dari segi tariannya, pakaiannya, kepelbagaiannya dan budayanya. Apa kehebatan manusia kalau tiada sifat manusiawi, sifat insaniah yang saling mencintai kepelbagaian satu sama lain.
“Dan inilah hasrat kita, dan saya memilih, memaklum kepada Ketua Menteri bahawa saya ingin hadir untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan negara Malaysia ini bersungguh-sungguh mahu menyakinkan rakyat bahawa ini fasa baharu negara Malaysia yang mengangkat semua rakyat di negara ini.
“Saya percaya, dalam tempoh yang singkat, kita akan dapat bawa balik semangat perpaduan yang tulin di kalangan kita,” katanya.
Tambahnya, kehadirannya pada Pesta Kaamatan adalah bersimbol, iaitu semua pimpinan kerajaan dan semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bahawa pada setiap perayaan mana-mana suku kaum dan mana-mana masyarakat dalam wilayah adalah perayaan bersama yang harus kita muliakan.
Anwar juga terharu apabila diberitahu oleh Pairin dalam ucapannya bahawa ini merupakan kali pertama Perdana Menteri hadir pada majlis sambutan Pesta Kaamatan.
“Dan saya percaya ini bukan kali terakhir (majlis sambutan Pesta Kaamatan). Minggu depan saya akan ke Pesta Gawai di Sarawak,” kata Perdana Menteri.































