Anwar Ibrahim
PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan Negeri esok pagi bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah bersama-sama dengan Kerajaan Negeri.
Perdana Menteri memaklumkan ini semasa berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau memahami isu-isu seperti pembangunan, mutu pendidkan, kemudahan kesihatan, prasarana asas, bekalan elektrik dan air serta jalan raya yang dihadapi di Sabah.
“Dalam masa yang singkat (sejak menjadi Perdana Menteri) saya sudah tiga kali datang ke Sabah. Ini kerana saya mahu memenuhi tanggungjawab. Ketua menteri menyebut kepada saya, sementara Kerajaan di bawah pimpinan beliau kuat dan padu, beliau menyatakan ada massalah-masalah yang patut diselesaikan dengan baik, tidak cukup dengan kekuatan Kerajaan Negeri tetapi harus padu dengan Kerajaan Persekutuan…antara isu-isu besar adalah isu air dan isu jalan.
“Maka saya telah mengambil keputusan esok pagi saya akan adakan mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan Negeri untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersama dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Selain itu katanya, ramai juga menteri-menteri, ahli-ahli parlimen dan ahli Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan Anwar patut jalan juga ke kawasan pedalaman, baru tahu tayarnya harus ditukar seringkali, kerana jalannya teruk.
“Maka baru-baru ini, kita telah pertingkatkan peruntukan untuk memperbaiki jalan dan peruntukan yang tertinggi untuk memperbaiki jalan-jalan adalah untuk negeri Sabah.
“Kita telah minta tindakan segera diambil. Bukan sahaja Lebuhraya Pan Borneo yang harus diselesaikan tetapi juga jalan-jalan yang rosak kita telah minta diambil tindakan segera. Saya percaya rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri jadi sebahagiannya kita serahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri dan sebahagian lagi mengikut peraturan-peratuan biasa kewangan.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa ini Kerajaan Perpaduan yang serius dan kita bertekad untuk menyelesaikan masalah-masalah ini dalam keadaan yang segera,” katanya, sambil menambah apa yang penting yang dihadapi oleh rakyat seperti masalah pendidikan, kesihatan, prasarana asas mesti ditangani dengan baik.
Beliau juga mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada Hajiji kerana sangat prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah.
“Ini yang kita nakkan pada pemimpin-pemimpin kita. Bukannya pemimpin yang jumpa saya kerana nakkan projek atau saham untuk diri sendiri. Tetapi Hajiji jumpa saya minta adakah tidak tambahan projek-projek untuk rakyat Sabah.
Perdana Menteri juga bersyukur kerana dalam tempoh enam bulan (selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan) hampir keseluruhan permasalahan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya diselesaikan dengan baik.
“Sebab itu saya tidak bimbang lagi apabila (Presiden KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyebut tentang MA63. Kerana sejak kita ambil alih kerajaan di antara keutamaan kita ialah menyelesaikan masalah yang merundung negara ini berpuluh-puluh tahun.
“Setiap kali saya ke Sabah tak habis-habis dengar masalah pelaksanaan MA63 …apa itu MA63, itu perjanjian, ikrar yang dimeterai oleh bapa-bapa kemerdekaan kita. Dan tanggungjawab generasi kita ialah melaksanakan janji-janji itu dengan setia dan ikhlas.
“Maka dalam tempoh enam bulan, Alhamdulillah, bersyukur kita bersama-sama Ketua Menteri dan pasukan di negeri dan persekutuan dalam jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, hampir keseluruhan permasalahan (MA63) itu telah selesai dengan baik,” katanya.































