Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memberikan perhatian tinggi dan komitmen kepada usaha untuk mengatasi jurang wilayah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, konsep jurang wilayah mesti dijadikan naratif utama pelaksanaan terpenting dalam menegakkan keadilan sosial selaras dengan konsep Malaysia Madani.
“Dengan tercapainya usaha merapatkan jurang wilayah ini maka hasrat Malaysia Madani itu akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara kita yang kita cintai,” katanya ketika membahas untuk menyokong Belanjawan 2023 di Parlimen, Kuala Lumpur, malam tadi.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah berkata,
rakyat Sabah amat mengalu-alukan pengumuman peruntukan RM 20 Billion bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
“Maka dengan adanya dana sebanyak RM 20 Biliion itu adalah menjadi harapan kami rakyat untuk melihat pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej dalam fasa 1 lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Untuk mempercepatkan pelaksanaan lebuhraya Pan Borneo Highway Sabah fasa 1 ini, saya ingin mencadangkan agar dipertimbangkan pengecualian kepada sesi Value Assesment (VA) terhadap pakej-pakej yang berkenaan kerana proses ini telah dilakukan pada tahun 2017 dan tahun 2018.
“Dengan pengecualian ini, adalah dijangka dapat menjimatkan sekitar empat hingga lima bulan kerja reka bentuk,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar dana ini dapat disalurkan pada tahun ini juga bagi membolehkan pelaksanaan lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dibuat awal dan juga akan melibatkan kontraktor-kontraktor tempatan Sabah yang berwibawa dan berkeupayaan.
“Selain daripada Lebuhraya Pan Borneo, saya tertarik dengan jawapan daripada Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia berkaitan dasar zero potholes. Justeru, saya juga ingin memohon agar dipertimbangkan tambahan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Sabah yang amat memerlukan kerja-kerja penambahbaikan terutamanya jalan di laluan Tamparuli – Ranau dan Kianabatangan – Lahad Datu,” katanya.





























