Pandikar Amin Mulia
KOTA KINABALU : Perbuatan beberapa orang pemimpin kanan dalam kabinet Kerajaan GRS-BN untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri amat menyedihkan USNO.
Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia menyifatkan cubaan menggulingkan Hajiji semalam sebagai suatu perbuatan yang menjejaskan imej diri sendiri jika dilihat dari segi pengalaman dan kematangan berpolitik.
“Bagaimanapun, pengalaman dan kematangan mereka itu jauh tersasar….Pada masa ini, Sabah tidak memerlukan Ketua Menteri baharu atau kerajaan baharu yang dipimpin oleh siapa-siapa.
“Ketua Menteri dan barisan menterinya yang ada sekarang ini adalah memadai sekiranya mereka yang berkenaan itu ikhlas menjalankan tanggungjawab masing-masing demi untuk kepentingan rakyat,” jelas Pandikar dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Ketua Menteri (Hajiji) adalah merupakan individu yang selayak-layaknya memegang jawatan sebagai Ketua kerajaan berdasarkan pengalaman beliau yang amat luas dalam pentadbiran dan sebagai wakil rakyat.
“Sebagai individu dalam dunia politik pula, Hajiji seorang yang mempunyai sikap inklusif, yakni tidak suka bermusuhan, mengaibkan, menunjuk-nunjuk kelebihan diri atau memandai-mandai kerana beliau memberikan keutamaan kepada keseluruhan atau sama rata.
Akan tetapi, sebagai analogi, walaupun seorang ‘nakhoda’ itu sarat dengan ilmu pelayaran dan sebagainya, bahtera yang dinakhodai oleh beliau tidak akan selamat sampai ke destinasi jika petugas-petugas lain tidak membantu nakhoda mereka, tetapi disebaliknya merampas kuasanya sebagai nakhoda,” jelas Pandikar lagi.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, sejak merdeka, Sabah telah diterajui oleh pelbagai individu dari pelbagai parti politik, namun sehingga kini, keadaan ekonomi dan politik Sabah masih belum boleh dibanggakan, walaupun kebanyakan pemimpin yang memimpin dahulu dan sekarang sarat dengan pengalaman pentadbiran dan mempunyai pelbagai kemahiran masing-masing disamping mempunyai pendidikan yang tinggi.
Kegagalan ini adalah disebabkan oleh tabiat ‘jatuh-menjatuhkan’ kerajaan yang berakhir juga dengan keadaan yang serupa seperti sebelumnya.
Pada masa keadaan politik nasional kini berubah yang disertai kesedaran dari pemimpin-pemimpin Malaya untuk melaksanakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sepatutnya pemimpin Sabah dari semua parti-parti politik bersatu padu dan memberikan sokongan kepada kerajaan GRS-BN di bawah kepimpinan Hajiji bagi membangunkan Sabah dan bukan sebaliknya.
“Sebagai pemimpin kanan komponen kerajaan GRS-BN, yang dimandatkan oleh rakyat Sabah untuk mentadbir Kerajaan Negeri, mereka sewajarnya berpadu fikiran dan tenaga membantu Ketua Menteri untuk melaksanakan tanggungjawab serta memberikan tumpuan khusus kepada kestabilan kerajaan yang mereka sendiri telah bertungkus lumus wujudkan setelah mengalahkan kerajaan Warisan pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).
“Menggulingkan Ketua Menteri dan menjadikan Parti Warisan sebagai tulang belakang peneraju kerajaan Sabah semata-mata untuk mendapatkan beberapa portfolio yang diidamkan adalah suatu tindakan yang kurang bijaksana dan saya anggap ia sebagai ‘pengalaman sarat yang jauh tersasar’,” ujarnya lagi.
USNO tidak akan mencurahkan air setitik di dalam tempayan, walau terdengar gegak gempita guruh di langit, katanya..































