Hajiji bersama tetamu lain dan penerima anugerah perkhidmatan lama
KOTA KINABALU: Sebanyak 11,132 rumah di bawah program Rumah Mesra SMJ telah disalurkan kepada penerima setakat tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata program Rumah Mesra SMJ merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi menyediakan rumah secara percuma serta membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan memiliki kediaman yang lebih baik, selamat dan selesa.
Bercakap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-40 St Simon Educational Complex di Magellan Sutera di sini malam ini, Hajiji berkata pembangunan modal insan dan pemerkasaan generasi muda turut menjadi keutamaan kerana masa depan Sabah bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan potensi mereka.
Beliau berkata perhatian turut diberikan kepada kesaksamaan pendidikan, pendidikan inklusif di kawasan luar bandar, penerapan nilai dan identiti tempatan serta pemerkasaan kepimpinan sekolah.
“Pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membina masa depan negeri yang lebih mampan dan progresif.
“Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan dengan memperkasa modal insan, memperluas bantuan pendidikan serta memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (AI).
“Usaha berterusan ini penting bagi memastikan setiap anak di Sabah mendapat akses kepada peluang pendidikan berkualiti, sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan, berakhlak mulia dan berdaya saing,” katanya.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri telah menyediakan 14 jenis bantuan pendidikan yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan, daripada pendidikan awal kanak-kanak dan persekolahan hingga ke pendidikan tinggi.
“Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM620 juta dalam tempoh enam tahun lalu di bawah program Biasiswa Negeri. Tahun ini kita membelanjakan RM161 juta.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan Sabah,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut meningkatkan bantuan kewangan kepada sekolah Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam kepada RM90 juta tahun ini, berbanding RM70 juta pada 2025 dan RM43 juta pada 2020 serta 2021.
“Kerajaan Negeri kekal komited untuk menyediakan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada sekolah-sekolah di negeri ini, termasuk sekolah mubaligh dan sekolah persendirian, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak kita,” katanya.
Hajiji berkata antara inisiatif lain yang diperkenalkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah ialah program bantuan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima pada 2025.
Pada 2026, program itu diperluas untuk meliputi 140,000 penerima, dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan dan jumlah peruntukan RM339.16 juta.
Sementara itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada pengasas, pemimpin terdahulu, ahli Lembaga Pengelola, pendidik, kakitangan, ibu bapa, alumni dan semua pihak yang telah menyumbang kepada perkembangan St Simon Educational Complex sepanjang 40 tahun lalu.
Beliau berkata St Simon Educational Complex dikenali kerana menghimpunkan tiga institusi pendidikan, iaitu Datuk Simon Fung Pre-school and Kindergarten, SRS (Sekolah Rendah Swasta) Datuk Simon Fung dan Maktab Nasional.
“Kesinambungan pendidikan ini, daripada peringkat awal kanak-kanak hingga sekolah menengah, menyediakan persekitaran pembelajaran yang memupuk ilmu pengetahuan, disiplin, karakter dan kematangan diri anak-anak,” katanya.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada His Grace, Most Reverend Datuk John Wong, Archbishop of Kota Kinabalu, serta semua pihak yang telah menyokong St Simon Educational Complex sepanjang perjalanannya.
“Kita turut mengenang dengan penuh rasa syukur sumbangan mendiang Bishop Datuk Simon Fung, yang menjadi nama kepada institusi pendidikan ini. Semoga legasi yang telah dibina terus dipelihara dan diperkukuh demi manfaat generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
.




























