Shahelmey Yahya
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memberikan penjelasan menyeluruh berhubung Sabah yang mencatatkan jumlah tunggakan bil rawatan kesihatan golongan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) tertinggi di negara ini.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata laporan Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung Pengurusan Pelarian di Malaysia (DR 21) merekodkan Sabah sebagai negeri tertinggi menanggung kos tunggakan rawatan berkenaan bagi 2025.
Menurutnya, pendedahan dalam laporan itu boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat, khususnya berhubung persepsi bahawa warga asing, termasuk PATI, menerima layanan kesihatan yang lebih baik berbanding rakyat tempatan.
“Dapatan yang dinyatakan dalam muka surat 16 tersebut boleh mendatangkan tidak kurang senang kepada rakyat.
“Pendedahan tersebut boleh mencetuskan tanggapan ‘first class treatment’ kepada pesakit warga asing, khususnya golongan PATI, yang merupakan penyumbang tertinggi kepada tunggakan bil rawatan golongan pelarian.
“Sehubungan dengan itu, Putatan ingin mendapatkan penjelasan daripada KKM mengenai punca utama yang menyebabkan Sabah menjadi negeri yang merekodkan jumlah tunggakan bil rawatan kesihatan golongan pelarian yang paling tinggi,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Shahelmey berkata sektor kesihatan awam terpaksa menanggung tunggakan sebanyak RM1.06 juta bagi bil rawatan kesihatan golongan pelarian pada 2025.
Beliau berkata pendedahan itu turut memperlihatkan isu beban yang ditanggung kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada golongan pelarian yang berada di negara ini.
Sementara itu, beliau turut membangkitkan keperluan mendesak pembinaan sebuah hospital daerah di Putatan susulan pertambahan penduduk yang kini mencecah lebih 70,000 orang berdasarkan bancian.
Menurutnya, Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Daerah Putatan Dr Balachandar turut mengklasifikasikan pembinaan hospital berkenaan sebagai satu keperluan mendesak.
Katanya, keperluan itu antara lain mengambil kira peningkatan permintaan terhadap rawatan penyakit tidak berjangkit.
“Hospital daerah yang dimaksudkan tersebut merupakan satu keperluan teratas yang mesti diberi penekanan oleh KKM, memandangkan populasi daerah Putatan telah menjangkau angka 70,000 penduduk berdasarkan dapatan daripada bancian.
“Pengklasifikasian tersebut dibuat antaranya bersandarkan kepada realiti keperluan terhadap rawatan bagi penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta KKM memberikan pertimbangan serius supaya cadangan pembinaan Hospital Daerah Putatan disenaraikan dalam agenda pembangunan hospital baharu di bawah peruntukan pembangunan kementerian berkenaan.
































