IPOH (Bernama): Seorang anggota polis maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah van milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabas sebelum merempuh penghadang besi di KM352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Tapah hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam kejadian kira-kira 11.35 pagi itu, van jenis Maxus itu dipandu seorang anggota bersama 10 penumpang yang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tayar belakang sebelah kiri van berkenaan dipercayai pecah secara tiba-tiba ketika tiba di lokasi kejadian, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
“Akibat kemalangan itu, beberapa penumpang tercampak keluar dari kenderaan. Seorang anggota polis berusia 26 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata empat anggota yang parah dibawa ke Hospital Slim River manakala enam lagi yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Tapah.
Mayat mangsa yang maut turut dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222 atau Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140 bagi membantu siasatan. — BERNAMA
































