CYBERJAYA (Bernama): Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menetapkan TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat bagi mereka bentuk, melaksana dan mengendalikan sistem Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan projek berkenaan akan dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), iaitu Sistem SALAM akan meningkatkan kapasiti sambungan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Ia sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan digital yang lebih andal kepada komuniti, perniagaan dan kerajaan. Selain itu, ia juga akan menyediakan laluan alternatif bagi trafik data, sekali gus mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami gangguan atau kerosakan,” menurut MCMC.
Dengan jajaran sepanjang kira-kira 5,500 kilometer, sistem itu akan dilaksana oleh TM berasaskan teknologi kabel dasar laut Alcatel Submarine Networks (ASN) dan akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat, memandangkan penggunaan kapasiti rangkaian kabel dasar laut sedia ada yang telah beroperasi sejak 2017, kini mencecah kira-kira 85 peratus.
Menurut MCMC, sistem SALAM akan merangkumi 10 stesen pendaratan kabel dasar laut baharu, iaitu Cherating dan Sedili di Semenanjung Malaysia; Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju) di Sarawak; serta Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.
Kapasiti tambahan itu akan menyokong peluasan jalur lebar dan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, sekali gus menyediakan asas yang lebih kukuh untuk memperluas peluang digital, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Empat pasangan gentian optik akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara, termasuk infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber.
“SALAM mencerminkan komitmen MCMC dalam memperkukuh infrastruktur digital Malaysia agar lebih banyak komuniti dan perniagaan dapat menikmati manfaat ekonomi digital,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan pelaksanaan projek SALAM dijadualkan bermula pada pertengahan Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini bermula semalam, menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara TM dengan ASN di Bangunan Sultan Abdul Samad. — BERNAMA
































