Gambar hiasan
NEW YORK (Bernama-dpa): Sebuah loceng gereja berusia 120 tahun seberat lebih 130 kilogram dicuri dari menara sebuah gereja di wilayah Manitoba, Kanada, lapor agensi berita Jerman dpa.
“Setakat ini, belum diketahui bagaimana atau bila loceng itu dikeluarkan dari menara berkenaan,” menurut penyiasat.
Gambar yang dikongsi menunjukkan kerosakan pada menara loceng yang diperbuat daripada kayu di sebuah gereja Katolik Ukraine di kawasan luar bandar di utara Winnipeg.
Seorang pegawai polis memberitahu penyiar awam CBC bahawa loceng berkenaan diperbuat daripada loyang dan mempunyai ukiran hiasan yang menarik.
Bagaimanapun, beliau berkata bahan logam yang digunakan untuk menghasilkan loceng itu mungkin menjadi tarikan utama pencuri.
Menurut CBC, polis Kanada percaya terdapat kemungkinan loceng berkenaan cuba dijual sebagai besi buruk.
“Kami telah menghubungi semua premis membeli besi buruk dan pusat kitar semula di kawasan ini, termasuk di Winnipeg, serta meminta mereka berwaspada sekiranya loceng berkenaan dibawa ke premis mereka,” kata pegawai itu kepada CBC.
Menurut Persatuan Sejarah Manitoba, loceng berkenaan diimport dari Switzerland ke Kanada pada 1906. — BERNAMA-dpa
































