KOTA BHARU (Bernama): Dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit dipercayai tekong darat cuba menghampiri Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum melarikan diri selepas anggota mengacukan senjata api dalam Ops Taring Delta di Kubang Gadong, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata kejadian berlaku kira-kira 8 malam ketika pasukan menjalankan intipan di kawasan ladang kelapa sawit sebelum mengesan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata dua lelaki terbabit kemudian menghampiri anggota dengan membawa senjata tajam, menyebabkan pasukan terpaksa mengacukan senjata api bagi mempertahankan diri sebelum mengejar mereka.
“Hasil tindakan itu, seorang daripada lelaki berkenaan berjaya ditahan bersama dengan sebilah sabit, manakala seorang lagi meloloskan diri.
“Operasi itu turut membawa kepada penahanan 12 migran terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita berumur antara 18 hingga 36 tahun yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Radzi berkata pemeriksaan telefon bimbit lelaki yang ditahan menemukan gambar nombor akaun bank atas nama seorang wanita tempatan dipercayai digunakan ejen dari Thailand bagi urusan pembayaran upah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menerima RM100 bagi setiap migran yang dibawa menyeberangi Sungai Golok dari Thailand sebelum diserahkan kepada pihak pengangkutan di sekitar Kampung Bakong.
“Setiap migran dipercayai dikenakan bayaran hingga RM5,000 untuk memasuki Malaysia secara haram, dengan pembayaran hanya perlu dibuat selepas mereka berjaya memperoleh pekerjaan di negara ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. — BERNAMA


































