Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Hubungan erat antara Malaysia dan China perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan eksport serta memperluas pasaran produk tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh persekitaran perniagaan dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa.
“Ini sekali gus memastikan lebih banyak perniagaan tempatan mendapat manfaat daripada hubungan ekonomi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2026 yang diketuai penasihatnya, Tan Sri Barry Goh Ming Choon bagi membincangkan hala tuju penganjuran edisi ke-16 persidangan berprestij tersebut.
Perdana Menteri berkata kerajaan menyokong penuh penganjuran edisi kali ini sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan serta jaringan perniagaan antara komuniti korporat kedua-dua negara.
“Saya berharap MCEC terus membuka lebih banyak peluang ekonomi bernilai tinggi, termasuk membantu usahawan tempatan dan syarikat Bumiputera menembusi pasaran China, khususnya dalam industri halal,” katanya. — BERNAMA






























