SIBU (Bernama): Polis menahan 14 lagi individu berhubung kes pergaduhan yang mengorbankan seorang lelaki akibat tikaman pada dada di sini Sabtu lepas, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini sebanyak 23 orang.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kesemua 14 suspek itu ditahan di beberapa lokasi di bandar Sibu semalam hasil risikan polis.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 18 Nov bagi membantu siasatan.
Polis menerima laporan mengenai pergaduhan itu kira-kira 2 pagi pada 7 Nov.
Susulan laporan itu, sembilan suspek berusia antara 16 hingga 42 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu pada hari yang sama dan direman sehingga 15 Nov.
Abang Zainal Abidin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengenal pasti peranan serta penglibatan setiap suspek dalam kejadian itu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menyalurkannya kepada polis serta mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. — BERNAMA






























