Chan Foong Hin
KUALA LUMPURl (Bernama): Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian khusus dalam usaha meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara kepada 80 peratus menjelang 2030 memandangkan tahap pengeluaran di kedua-dua negeri itu yang masih rendah berbanding Semenanjung.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata SSR beras di Semenanjung pada 2023 mencapai 61.6 peratus, manakala Sabah dan Sarawak dianggarkan hanya sekitar 20 peratus lebih, berbanding kadar nasional sebanyak 54.3 peratus.
“Maksudnya kalau kita nak menaikkan SSR untuk keseluruhan negara kita ini, langkah drastik yang harus diambil adalah di Sabah dan Sarawak supaya ia dapat mencapai sasaran 80 peratus yang kita nak capai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Dewan Rakyat hari ini.
Chan berkata walaupun SSR beras negara meningkat daripada 52.9 peratus pada 2022 kepada 54.3 peratus pada 2023, sasaran 80 peratus menjelang 2030 masih jauh untuk dicapai berikutan pelbagai cabaran termasuk serangan penyakit, perubahan iklim dan pengurangan kawasan tanaman padi.
Beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan pengeluaran, termasuk penggunaan teknologi moden, rawatan kesuburan tanah, pemerkasaan infrastruktur pengairan dan saliran serta penggunaan benih padi berkualiti dan rintang penyakit.
Katanya, langkah itu turut merangkumi pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dan peluasan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan pesawah.
“Kerajaan juga menggalakkan kerjasama kerajaan negeri untuk meningkatkan kawasan tanaman padi menerusi penerokaan kawasan baharu dan pelaksanaan penanaman secara berskala besar seperti yang dilakukan Sarawak dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata Sarawak telah mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar kawasan berpotensi untuk pembangunan tanaman padi serta menyediakan peruntukan sendiri sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan industri berkenaan.
Di Selangor pula, beliau berkata Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melaksanakan projek sawah berskala besar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dan membantu menambah pendapatan pesawah.
Mengenai SMART SBB, Chan berkata program yang diperkenalkan pada 2021 itu berkembang daripada dua syarikat projek rintis kepada 25 syarikat peneraju, melibatkan 23,441 pesawah di 45 lokasi dengan keluasan keseluruhan 53,700 hektar.
Beliau berkata purata hasil yang dicatatkan menerusi program berkenaan adalah sekitar 4.5 tan metrik sehektar setakat Ogos 2024 dan kerajaan turut memperuntukkan RM2.62 bilion masing-masing bagi 2024 dan 2025 untuk subsidi serta bantuan kepada pesawah.
“Subsidi dan insentif itu meliputi bantuan input seperti baja, racun makhluk perosak dan benih padi sah, selain Skim Subsidi Harga Padi (SSHP), Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), insentif penuaian serta penyelarasan harga beras putih import di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chan berkata antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk menambah baik industri padi negara ialah peralihan daripada subsidi berasaskan input kepada subsidi berteraskan output, selain kemungkinan mengkaji semula pengapungan harga beras domestik.
Bagaimanapun, beliau mengakui pengapungan harga beras merupakan isu sensitif kerana perlu mengimbangi kepentingan pesawah dengan keperluan pengguna mendapatkan bekalan beras pada harga berpatutan.
Susulan itu, Chan mengesyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian mengambil langkah lebih proaktif untuk meneroka kajian atau cadangan penambahbaikan industri padi negara.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM6,918,863,200 yang diperuntukkan kepada KPKM dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 25 Ahli Parlimen. — BERNAMA






























