GEORGE TOWN (Bernama): Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas diserang dua lelaki menggunakan parang, malah keretanya turut dirosakkan dipercayai berpunca daripada komplot pemerasan dalam kejadian di persimpangan Jalan Pangkor, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun mendakwa dikejar, diserang menggunakan parang dan dipukul oleh dua lelaki selepas mengambil seorang wanita berusia 39 tahun yang baru dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp di Flat PPR Taman Manggis, di sini.
“Lelaki itu yang memandu keretanya kemudian dikejar dua suspek tersebut sehingga kenderaannya terbabas dan melanggar tembok di persimpangan Jalan Pangkor.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada komplot pemerasan yang dirancang oleh wanita berkenaan bersama-sama suaminya dan seorang saudara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata polis menahan wanita tersebut dan suaminya yang berumur 30 tahun, manakala seorang lagi suspek lelaki berumur 26 tahun sedang diburu.
Pasangan suami isteri itu direman tiga hari hingga 7 Nov ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 serta 427 Kanun Keseksaan. — BERNAMA






























