KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan Persekutuan memperkukuh penyelarasan tindakan bagi memastikan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah kekal stabil serta dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyelarasan itu merangkumi aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran, pemantauan harga serta penguatkuasaan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah di Perbendaharaan Malaysia Sabah, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar bersama wakil jabatan dan agensi berkaitan.
Armizan berkata mesyuarat itu meneliti kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di Sabah, selain membincangkan penyelarasan tindakan antara kedua-dua kerajaan, termasuk memperkukuh peraturan berkaitan.
Beliau berkata peranan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta agensi berkaitan di peringkat negeri dan KPDN di peringkat Persekutuan perlu diselaraskan mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing.
“Penyelarasan ini penting supaya isu di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani seiring dengan pemantauan harga dan penguatkuasaan,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu juga menjadi asas kepada mekanisme yang lebih berkesan dalam menangani isu bekalan dan harga melalui perkongsian maklumat lebih baik, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan yang berkesan.
Beliau berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat di Sabah terjamin dan dapat diperoleh pada harga berpatutan.































