SIBU (Bernama): Duo soft rock terkenal Australia, Air Supply tiba hari ini untuk konsert ulang tahun ke-50 mereka di sini esok selepas mengadakan persembahan di hadapan lebih 8,000 peminat di Manila, Filipina.
Ketibaan Graham Russell dan Russell Hitchcock itu disambut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee.
“Penantian berakhir! Duo soft rock terkenal Air Supply, yang lagu-lagu cinta malar segar mereka menemani kita sepanjang zaman persekolahan tiba di Sibu!” kata Tiang menerusi hantaran di Facebook.
Air Supply dijadual mengadakan persembahan di Stadium Tertutup Sibu pada 7.30 malam esok sebagai sebahagian daripada Jelajah Dunia Ulang Tahun Ke-50 “A Matter of Time” mereka bagi meraikan lima dekad penglibatan dalam industri muzik antarabangsa.
Duo itu dilaporkan mengadakan persembahan di hadapan lebih 8,000 penonton di Smart Araneta Coliseum di Manila semalam.
Peminat boleh menikmati lagu-lagu popular seperti Lost in Love, Making Love Out of Nothing at All, Goodbye dan Even the Nights Are Bettermenerusi konsert mereka di sini.
Konsert itu diadakan selepas duo berkenaan meraih pencapaian bermakna apabila menerima pengiktirafan bintang di Hollywood Walk of Fame pada 8 Okt lepas.
Air Supply yang ditubuhkan pada 1975 mencipta nama pada peringkat antarabangsa menerusi lagu-lagu balada romantik mereka, sekali gus mengumpul peminat daripada pelbagai generasi sepanjang lima dekad lepas. — BERNAMA






























