KOTA KINABALU: KUPIKUPI FM melakar sejarah sebagai stesen radio komuniti swasta pertama dari Borneo yang memperluaskan siaran radio FM terestrialnya ke Semenanjung Malaysia, sekali gus membawa muzik, budaya dan kisah Borneo kepada khalayak lebih luas.
Menerusi frekuensi 106.0 FM, stesen itu kini boleh didengari di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, termasuk Seremban, serta Selangor, meliputi Sepang, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang, selain Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif OOGA X Sdn. Bhd., Lester Calvin Miol menyifatkan perkembangan itu sebagai detik bersejarah dan membanggakan bagi syarikat serta industri penyiaran Borneo.
Beliau berkata, pengembangan itu bukan sahaja membolehkan masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia terus berhubung dengan kampung halaman, malah memberi peluang kepada masyarakat di Malaysia Barat mengenali Borneo dengan lebih dekat.
“Ini merupakan detik bersejarah buat kami. Kami mahu rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia mempunyai sebuah saluran radio yang boleh mereka dengari setiap kali merindui kampung halaman.
“Pada masa yang sama, kami mahu memberi peluang kepada saudara-saudari kita di Malaysia Barat untuk mengenali Borneo dengan lebih dekat.
“Kami bukan datang untuk bersaing sehingga mendominasi sesiapa. Kami hadir untuk turut serta, berkongsi budaya, muzik dan cerita kami, serta menyumbang kepada landskap penyiaran Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian,” katanya.
Lester berkata, pihaknya berharap perkembangan itu menjadi permulaan kepada sesuatu yang bermakna, bukan sahaja untuk masyarakat Borneo di Semenanjung Malaysia, tetapi juga untuk dinikmati semua.
KUPIKUPI FM SABAH dilancarkan pada Januari 2016 sebagai stesen radio komuniti yang komited berkhidmat kepada masyarakat Sabah, mempromosikan bakat tempatan dan menyediakan platform kepada suara anak tempatan.
Menerusi frekuensi 96.3 FM, siarannya meliputi beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan lokasi berdekatan.
Selain penyiaran, khidmat kepada masyarakat turut menjadi antara teras utama operasinya. Sepanjang beroperasi, KUPIKUPI FM telah melaksanakan lebih daripada 30 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sabah, kebanyakannya memberi tumpuan kepada usaha memulihkan bekalan air untuk komuniti luar bandar.
Menerusi inisiatif Operasi Kerja Komuniti bersama rakan strategiknya, stesen itu menyumbang kepada usaha meningkatkan akses bekalan air dan membantu komuniti yang memerlukan.
KUPIKUPI FM turut mengembangkan operasinya dalam bidang hiburan berskala besar dengan menganjurkan lima konsert utama dan sebuah festival yang menampilkan artis antarabangsa serta tempatan.
Penganjuran itu turut membuka peluang kepada penggiat seni tempatan berkongsi pentas dengan artis terkenal, antaranya Repvblik, D’Masiv dan Kotak dari Indonesia.
Perkembangan kumpulan itu diteruskan dengan pelancaran KUPIKUPI FM SARAWAK pada 9 Jun 2023. Bersiaran menerusi frekuensi 92.5 FM di Kuching, stesen itu menghimpunkan bakat muda Sarawak melalui muzik, penceritaan dan program berteraskan komuniti.
Usaha berkenaan bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan.
Kumpulan itu kemudiannya mengembangkan operasi ke bidang kewartawanan digital menerusi INFO X, sebuah portal berita dalam talian pertama di Sabah yang memfokuskan berita khusus mengenai Sabah.
Platform berkenaan memberi tumpuan kepada penyampaian berita yang pantas, relevan dan dekat dengan realiti masyarakat, khususnya khalayak di Sabah.
Kesemua platform itu merupakan sebahagian daripada perniagaan media bersepadu OOGA X Sdn Bhd yang merangkumi perkhidmatan dalam talian, luar talian, aktiviti lapangan dan penyiaran radio.
Menurut Lester, keupayaan syarikat bukan sahaja tertumpu kepada penyiaran radio, malah turut membolehkan OOGA X menjadi rakan strategik berpotensi bagi perniagaan yang ingin memasuki atau memperkukuh kehadiran di Sabah dan Sarawak.
“Kami mahu bakal pelanggan melihat kami sebagai penghubung dan jambatan kepada pasaran Borneo. Peranan kami melangkaui siaran radio. Kami juga mempunyai kepakaran dalam pengurusan acara, promosi lapangan, aktivasi pemasaran dan penglibatan komuniti.
“Kami berhasrat menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada perniagaan yang ingin meluaskan jangkauan, meningkatkan kesedaran jenama dan berhubung dengan pengguna di Sabah dan Sarawak.
“Kami memahami komuniti tempatan dan percaya bahawa penglibatan yang bermakna merupakan kunci untuk membina hubungan yang berkekalan,” katanya.
Dengan pengembangan ke Semenanjung Malaysia, KUPIKUPI FM berhasrat memperkukuh hubungan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, selain memberikan pendedahan lebih luas kepada bakat kreatif, kepelbagaian budaya dan kisah komuniti Borneo.
Bermula sebagai stesen radio komuniti di Sabah, berkembang ke Sarawak dan kini melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia, perjalanan KUPIKUPI FM mencerminkan aspirasi organisasi itu untuk terus berkembang tanpa melupakan akar umbi serta komuniti yang menjadi tunjang perjuangannya.
Bagi KUPIKUPI FM, langkah itu bukan sekadar memperluaskan kawasan liputan penyiaran, tetapi juga mendekatkan Borneo dengan seluruh Malaysia melalui setiap cerita, lagu dan hubungan yang terjalin.


































