Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan mempertahankan keputusan menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar untuk Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan geografi serta infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keperluan tersebut termasuk keadaan jalan raya yang masih teruk di beberapa kawasan di Sabah meskipun jumlah penduduknya lebih kecil berbanding negeri lain.
“Jangan kita lihat dari segi kaca mata satu negeri, iaitu untuk kepentingan melayani Sabah dan Sarawak.
“Tidak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu mesti dilihat sebagai waad nasional. Kepentingan kita untuk menjaga kepentingan semua,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Ronald meminta penjelasan mengenai tindakan mengurangkan atau tidak memperuntukkan dana bagi sebahagian projek di Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sedangkan berdasarkan MA63 kedua-dua negeri berhak mendapat lebih peruntukan, selain membangkitkan kemungkinan perkara itu dipengaruhi perbezaan politik.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 tidak termasuk perbelanjaan bagi projek di bawah KKDW yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen berkenaan.
“….yang kita umumkan itu projek-projek yang diluluskan mengikut perkiraan terkini,” katanya.
Anwar berkata kerajaan mengakui peruntukan pembangunan tidak akan dapat memenuhi semua keperluan, namun tadbir urus yang baik perlu dipastikan bagi mengelakkan ketirisan.
Beliau berkata urusan perolehan dan pemberian kontrak juga perlu diteliti supaya mematuhi peraturan serta mengambil kira keupayaan pelaksanaan projek berkenaan. — BERNAMA


























