KOTA KINABALU: Seorang murid sekolah berusia 11 tahun cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta Proton Waja ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Shahrudin Mat Husain berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.03 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 69 tahun itu sedang bergerak dari arah Pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.
“Apabila tiba di hadapan SK Darau, Jalan Tuaran Lama, kereta tersebut telah melanggar mangsa yang dipercayai berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa dilaporkan masih berada di wad kecemasan zon merah, manakala kenderaan terbabit ditahan untuk menjalani pemeriksaan oleh Puspakom.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shahrudin berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan semua pihak terlibat serta mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Sjn Mazlan Mursalam di talian 012-3036605 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.






























